Banjir besar dijangka landa Pahang, Terengganu - Utusan Malaysia

Banjir besar dijangka landa Pahang, Terengganu

Dr Abdul Latiff Ahmad (tengah) menyampaikan Anugerah Penuntut Terbaik Keseluruhan kepada Mohd Nazri Wahab (kanan) pada Majlis Penutup Kursus Khas SMART Siri 1/2021 di Markas Pasukan SMART, Pulau Meranti, Puchong di sini, hari ini. Turut sama, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Aminuddin Hassim (kiri). UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG : Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma ) sudah bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan bagi berdepan bencana banjir besar terutama di negeri-negeri di Pantai Timur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad berkata, pihaknya meramalkan banjir besar akan melanda beberapa lokasi di Pahang dan Terengganu seperti yang berlaku tahun lalu.

Beliau berkata, antara lokasi yang diramal banjir termasuk di Maran dan Kuala Lipis di Pahang serta Kemaman, Terengganu.

“Banjir di Pahang tahun lalu adalah yang kedua terbesar selepas bencana banjir besar pada tahun 2014. Justeru, kami sudah bersiap siaga untuk berdepan situasi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Khas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) Siri 1/2021 di Markas Pasukan SMART, hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor mulai bulan ini hingga awal Januari 2022.

Ia susulan peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula 3 November dan berterusan sehingga Mac tahun depan.

MetMalaysia turut meramalkan hujan lebat juga dijangka lebih tertumpu di Sarawak serta Sabah pada awal Januari dan Februari 2022.

Terdahulu, Abdul Latiff menyampaikan sijil tamat latihan kepada 24 peserta Kursus Khas SMART Siri 1/2021. 

Bagi edisi kursus kali ini, buat pertama kalinya empat peserta wanita berjaya menamatkan latihan sekali gus menjadi kumpulan wanita pertama menganggotai pasukan penyelamat khas itu.- UTUSAN  ONLINE

Kursus asas itu berlangsung selama lima minggu bertempat di Kem Bina Semangat, Kuala Kubu Bahru dan Markas Pasukan SMART bermula 18 September dan berakhir 24 Oktober lalu.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN