Muktamar: Pas kukuh peranan jadi pendamai UMNO, Bersatu - Utusan Malaysia

Muktamar: Pas kukuh peranan jadi pendamai UMNO, Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Muktamar Pas Ke-67 yang berlangsung di Duyung Marina Resort di sini, Sabtu ini menjadi medan terbaik untuk parti itu mengukuhkan peranannya sebagai pendamai antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, agenda itu bertepatan dengan tema muktamar iaitu, ‘Islam Menyatukan Ummah’. 

Malah, katanya, isu perpaduan turut menjadi intipati dalam Ucapan Dasar Presiden yang akan disampaikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 

“Agenda perpaduan kekal dan tetap diperjuang Pas dalam usaha  menyatukan ummah termasuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. 

“Peranan Pas ke arah menyatukan ummah itu didukung oleh kepemimpinan parti dan akan diterjemahkan dalam pelan tindakan kita,” katanya dalam sidang akhbar  Muktamar Pas Ke-67 di Duyung Marina Resort hari ini. 

Yang hadir sama Pengarah Muktamar itu, Dr. Alias Razak.

Muktamar Pas Ke-67 yang diadakan secara hibrid itu dihadiri seramai 694 orang termasuk ahli jawatan kuasa peringkat Pusat, ahli Majlis Syura Ulama, pesuruhjaya negeri/Wilayah Persekutuan, yang dipertua kawasan di samping semua perwakilan Pas di pantai timur. 

Takiyuddin berkata, muktamar kali ini dijangka lebih menarik kerana sesi perbahasan akan mengetengahkan isu-isu nasional termasuk kesihatan, pemulihan ekonomi dan sosial, pendidikan di samping hal-hal antarabangsa. 

Bagaimanapun, katanya, dalam penganjuran kali ini, Pas tidak menjemput mana-mana wakil dari UMNO, Bersatu mahu pun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berikutan Covid-19.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang disandang Abdul Hadi dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menang tanpa bertanding hingga 2023.

Menurut Takiyuddin, bagi Naib Presiden pula, hanya membabitkan empat calon selepas  Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menarik diri daripada bertanding. 

Katanya, mereka ialah Idris Ahmad, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan  Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki.  

“Pengumuman tiga naib presiden dan 18 ahli jawatankuasa baharu dibuat pada Sabtu, pukul 9 pagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN