KOTA KINABALU: Kedudukan Datuk Mohamaddin Ketapi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama kekal berikutan pembatalan surat peletakan jawatan bertarikh 30 Oktober.
Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya berkata, keputusan sebegitu dibuat selepas mengadakan temu bual bersemuka dengan Mohamaddin semalam.
“Saya menerima perakuan daripada Mohamaddin bahawa beliau tidak menandatangani surat itu kerana surat peletakan jawatan tersebut ditandatangani tanpa tarikh. Beliau tidak menandatangani surat bertarikh 30 Oktober dan tidak pernah melantik syarikat guaman bagi mewakilinya.
“Berasaskan undang-undang sebelum ini, surat itu tidak sah dan Mohamaddin kekal sebagai ADUN Segama,” katanya dalam sidang akhbar di DUN Sabah hari ini.
Mohamaddin mengumumkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada 30 Oktober lalu bagi menjadi ADUN Bebas yang mesra kerajaan.
Pada tarikh tersebut, Mohamaddin telah menghantar surat kepada Speaker DUN yang diterima melalui e-mel memaklumkan pembatalan surat dan dokumen aku janji yang ditandatangani bersama Warisan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Walau bagaimanapun, pada 1 November, pejabat DUN Sabah menerima surat daripada firma guaman mewakili ADUN Segama menyatakan Mohamaddin meletak jawatan sebagai ADUN.
Pada tarikh sama, Mohamaddin menafikan ada melantik syarikat guaman bagi menyerahkan surat peletakan jawatan bertarikh 30 Oktober.
Berdasarkan perkembangan itu, DUN Sabah memutuskan kedudukan Mohamaddin sebagai ADUN Segama kekal dan segala dokumen aku janji tidak bertarikh yang ditandatangani sebelum ini tidak sah.
Mohamaddin adalah ADUN ketiga Warisan yang mengumumkan keluar parti selepas ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg. Amir keluar pada 25 Februari dan ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yakob keluar pada 8 Oktober lalu.
Susulan tindakan tiga ADUN itu meninggalkan Warisan, parti tersebut kini memiliki 19 kerusi DUN.- UTUSAN ONLINE










