Menteri Besar Kedah dikurnia SPMK bawa gelaran Datuk Seri - Utusan Malaysia

Menteri Besar Kedah dikurnia SPMK bawa gelaran Datuk Seri

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor hari ini mengetuai senarai penerima Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ke-79.

Kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim memberitahu, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (SPMK) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Selain itu, Pengarah Urusan Weststar Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim pula menjadi penerima tunggal Darjah Seri Setia Diraja Kedah Yang Amat Dihormati (SSDK) yang turut membawa gelaran Datuk Seri.

Darjah Gemilang Seri Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (DGMK) pula dikurniakan kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Asri Hamidin yang membawa gelaran Datuk Wira.

Darjah Dato’ Setia Pahlawan Negeri Kedah Yang Amat Dihormati (DSPK) diterima Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Mohammad Abd. Rahman serta Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Wilayah 2, Laksamana Muda Rusli Ahmad yang membawa gelaran Datuk Pahlawan.

Dalam pada itu, Speaker Dewan Undangan Negeri, Juhari Bulat; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan, Keluarga dan Masyarakat negeri, Halimaton Shaadiah Saad serta Pengarah Tanah dan Galian negeri, Mohd. Fauzi Mustaffa dikurniakan darjah Dato’ Setia Sultan Sallehuddin Kedah (DSSS) yang membawa gelaran Datuk.

Seramai 15 individu lagi antaranya Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat; Penasihat Undang-Undang negeri, Nik Azhan Hakim Nik Mahmood; Pengarah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Mohd. Yusri Md. Daud serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman serta Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Dr. Mohd. Fikri Ujang menerima Darjah Dato’ Setia Paduka Kedah (DSDK) yang turut membawa gelaran Datuk.

Tiga individu iaitu bekas Pegawai Memerintah Wisma Transit Kuala Lumpur, Brigedier Jeneral Ahmad Faiezzelan Abdul Karim; Penolong Pengarah EIC Cawangan Khas E, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Dr. Lim Joo Soon serta Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Edwin Galan Anak Teruki juga menerima gelaran Datuk apabila dikurniakan Darjah Dato’ Setia Pahlawan (DDSP).

Sementara itu, Ammar yang juga Pendaftar Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat negeri ini berkata, Istiadat penganugerahan Darjah-Darjah Setia Bintang-Bintang Kebesaran itu akan diadakan pada tahun 2022.

“Bagaimanapun, gelaran dianugerahkan itu boleh digunakan secara rasmi bermula hari ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN