Mekanik kena penjara 92 bulan - Utusan Malaysia

Mekanik kena penjara 92 bulan

RAZZLEE Nasip (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Jelebu, Negeri Sembilan hari ini bagi berdepan empat pertuduhan iaitu membabitkan kesalahan melarikan diri semasa dalam perintah pengawasan polis, mencuri dua buah kenderaan dan memiliki kenderaan curi. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Padah atas perbuatan sendiri, seorang mekanik yang sebelum ini ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dijatuhi hukuman penjara 92 bulan serta denda RM7,500 oleh Mahkamah Majistret Jelebu, di sini, hari ini.

Tertuduh, Razzlee Nasip, 33, didapati bersalah atas empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya iaitu membabitkan kesalahan melarikan diri semasa dalam perintah pengawasan polis, mencuri dua buah kenderaan dan memiliki kenderaan curi.

Berdasarkan pertuduhan pertama, pada 29 Oktober lalu, kira-kira 11 malam, di Taman Serting, Bandar Seri Jempol, Razzlee yang dikenakan perintah sekatan didapati gagal berada di rumah atau tempat tinggal antara pukul 8 malam hingga 6 pagi tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Polis Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 POCA dan boleh dihukum di bawah seksyen 15 (4) akta yang sama.

Pada 29 Oktober lalu, kira-kira jam 2.15 petang, di tempat parkir motosikal di Bandar Seri Jempol, Razzlee turut dituduh mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda.

Diikuti pada 30 Oktober lalu, kira-kira pukul 6.40 pagi, di hadapan sebuah restoran di Taman Industri Mahsan, Jempol, dia juga telah dituduh mencuri sebuah kenderaan jenis Mazda.

Oleh itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan keempat pula, pada 8 November lalu, kira-kira pukul 1.30 petang, tertuduh didakwa secara tidak jujur menyimpan harta curi iaitu sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner yang dilaporkan hilang pada 31 Oktober sekali gus melakukan kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku salah atas pertuduhan yang dikenakan dan hukuman dijatuhkan oleh Majistret, Muhammad Hidayat Wahab.

Pada 23 November lalu, tertuduh  dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan samun di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan  dijatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda sebanyak RM3,000. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya