ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendedahkan, terdapat kartel dalam anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.
Beliau berkata, kartel-kartel tersebut yang dikuasai oleh tauker besar semakin mencekam dan menguasai kebanyakan projek GLC di peringkat negeri dan Pusat.
“Saya nak berterus-teranglah, di GLC nampak ada yang jadi kartel. 10 sebut harga (projek) masuk, sembilan dia (kartel) punya.
“Ini bukan berlaku di negeri sahaja, di Federal pun berlaku. Di semua tempat, sudah ada kartel-kartel yang begitu mencengkam, di agensi-agnesi atau tempat di mana duit dijana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalah tambah Datuk Johari Abdul (Parti Keadilan Rakyat (PKR)-Gurun) pada Persidangan Dewan UNdangan Negeri Ke-14 di sini hari ini.
Muhammad Sanusi memberitahu, beliau sedang meneliti perkara tersebut dan mencari langkah untuk membanteras kartel-kartel tersebut.
“Saya sedang teliti perkara ini dan mencari langkah bagaimana nak membanteras kartel-kartel yang dikuasai tauke-tauke besar,” ujarnya.
Jelasnya, GLC ditubuhkan oleh kerajaan untuk diberi projek kerajaan bagi bantu kontraktor-kontraktor kecil bawah konsep Payung.
“Saya fikir perkara-perkara seperti ini perlu diberi pertimbangan semula. Kalau GLC tidak mampu lagi melaksanakan konsep Payung membangunkan kontraktor kecil yang kita hasratkan, saya kira elok cukup setakat itu sahajalah.
“Insya-Allah perkara ini akan diberikan perhatian. Saya harap sahabat-sahabat saya di GLC turut mengamalkan konsep bersyukur dan sabar,” katanya. – UTUSAN ONLINE