SHAH ALAM: Semua masjid dan surau di Selangor dibenarkan menambah jumlah jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardhu lima waktu berkuat kuasa serta-merta mulai hari ini.
Ketetapan baharu itu bagaimanapun mengikut kapasiti masing-masing antara 200 hingga 3,500 jemaah termasuk pentadbir.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan itu melibatkan masjid, surau kebenaran solat Jumaat, surau dan ruang solat di seluruh negeri ini.
Katanya, seramai 3,500 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, manakala 500 jemaah bagi solat lima waktu.
“Penambahan jumlah jemaah turut melibatkan semua masjid daerah, masjid pengurusan, surau kariah dan ruang solat.
“Jumlah itu bagaimanapun perlu mengikut kapasiti yang sudah ditetapkan JAIS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya jumlah ketetapan jemaah dinaikkan bagi solat Jumaat di semua masjid dan surau-surau kebenaran di negeri ini.
Titah baginda, pertimbangan dan keputusan itu diambil selepas meneliti data terbaharu Covid-19 yang memperlihatkan statistik kematian harian menurun kepada satu digit di Selangor.
Dalam pada itu, jelas Mohd. Shahzihan, semua masjid, surau dan ruang solat turut dibenarkan memperluaskan program pengimarahan seperti kuliah atau tazkirah.
“Selain itu, pentadbir masjid atau surau boleh melaksanakan program seperti forum, diskusi, ceramah dan kursus. Mereka bagaimanapun perlu lengkap vaksinasi dan mempunyai tauliah yang dikeluarkan JAIS,” jelasnya.
Tambah beliau, kanak-kanak atau remaja yang lengkap vaksin turut dibenarkan hadir ke semua rumah ibadat berkenaan.
Sehubungan itu, Mohd. Shahzihan meminta semua pihak termasuk pentadbir mematuhi kawalan kendiri dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Semua pentadbir perlu segera memaklumkan kepada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) jika didapati berlaku sebarang penularan Covid-19. Jemaah tanpa vaksinasi lengkap tidak dibenarkan menyertai solat berjemaah atau aktiviti pengimarahan yang dijalankan,” katanya.