Masalah 200,000 warga asing tidak bekerja akan diatasi

Lambakan 200,000 warga asing tidak bekerja akan diatasi

HAMZAH Zainuddin hadir pada Majlis Penyerahan Projek IPD Iskandar Puteri di Johor. - FOTO/BAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Masalah lambakan seramai lebih 200,000 warga asing yang tidak mempunyai pekerjaan dan telah berdaftar dengan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja di seluruh negara dijangka akan dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, penempatan pekerja warga asing berkenaan bagaimanapun turut bergantung kepada sektor pekerjaan yang dipohon mereka.

Katanya, kerajaan juga telah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat yang memerlukan tenaga kerja asing.

“Kita akan beri keutamaan kepada warga asing yang telah disenaraikan ini dan mereka hendak bekerja di sektor mana, jadi kalau sektor perladangan kita akan panggil syarikat-syarikat besar untuk ambil mereka bekerja.

“Ini kerana jika kita mahu mengambil pekerja baharu ia akan memakan masa, selain daripada mereka ini sudah berada di negara ini, mereka juga sudah lengkap divaksin. Mereka boleh mula bekerja dalam masa dua minggu,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini. 

Pada 2 November lalu, Kementerian Dalam Negeri telah membuat semakan mengenai permohonan tersebut meliputi beberapa sektor antaranya perkilangan, pembinaan, pertanian serta perladangan.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu pihaknya masih memperincikan permintaan syarikat kawalan keselamatan swasta di negara ini yang memohon kebenaran untuk menggaji pekerja dari Bangladesh, Indonesia dan Filipina selain dari Nepal.

Hamzah berkata, ketika ini terdapat seramai 180,000 pengawal keselamatan bertugas di negara ini di mana 30,000 daripada mereka adalah warganegara Nepal.

“Ketika ini, kuota yang dibenarkan masih kekal iaitu 80 peratus pengawal keselamatan warga tempatan manakala hanya 20 peratus warga asing Nepal yang mempunyai pengalaman pekerjaan dalam agensi keselamatan.

“Isu yang timbul ketika ini adalah untuk menggantikan sebahagian daripada 30,000 warga Nepal ini sudah habis tempoh bekerja, kita mahu cari pengganti untuk isi kuota itu, bukan menambah.

“Sebolehnya kita mahu mengutamakan pengambilan pengawal keselamatan daripada warga tempatan kerana jawatan itu perlu diisi individu yang mempunyai integriti dan memahami undang-undang negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya