KOTA TINGGI: Meskipun diuji dengan isteri yang menghidap sakit buah pinggang dan perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu, ia tidak mematahkan semangat seorang suami untuk terus mengusahakan perniagaan roti yang pada awalnya merupakan ‘hadiah’ buat isterinya.
Wasahlan Sabir, 38, yang menjalankan bisnes itu di Felda Penggeli Timur, di sini berkata, dia sebelum ini merupakan pengusaha kafe siber, namun kini memberi tumpuan sepenuhnya terhadap jenama Roti Alanza yang telah bertapak sejak tahun 2013.
Katanya, tidak dinafikan pelbagai cabaran turun naik dilalui bersama isterinya, Zarifah Yusoff, 36, namun semua itu dirasakan berbaloi apabila melihat hasilnya pada hari ini.
“Isteri seorang yang minat berniaga sebab itu saya hadiahkan perniagaan ini buatnya walaupun ketika itu kami beroperasi di sebuah premis kecil sahaja di Felda Taib Andak.
“Masa mula-mula dahulu kami memang tak tahu untuk berniaga apa umpama bidan terjun. Isteri pada awalnya buat bahulu cermai kemudian kerepek diikuti biskut sebelum melihat roti sebagai satu perniagaan yang tepat.
“Alhamdulillah kami kemudian berpindah di kilang ini untuk proses roti. Namun kami diuji apabila isteri disahkan sakit buah pinggang, jadi saya perlu ambil alih termasuk membuat roti dan menjalankan semua proses dari awal hingga akhir,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Wasahlan yang juga generasi kedua Felda tersebut berkata, selepas mendapat perkhabaran kesihatan isterinya itu, operasi roti terhenti lebih sebulan dan memerlukan kerja keras untuk membangunkan semula.
Katanya, tidak terhenti di situ sahaja apabila Roti Alanza yang kembali rancak dijual berdepan pula dengan cabaran lain apabila wabak Covid-19 melanda negara tahun lalu.
Jelasnya, ketika itu pelanggannya yang ramai terdiri daripada pekerja kilang dan pelajar sekolah sekaligus pengeluaran Roti Alanza sekali lagi merundum apabila kurang permintaan.
“Alhamdulillah berkat sokongan dan dorongan ahli keluarga semuanya kami berjaya harungi. Kami juga ambil pengajaran dari apa yang berlaku dan mula fokus pasaran lain pula iaitu di kedai runcit.
“Sekarang kira-kira 250 buah kedai runcit yang kami masuk setiap minggu melibatkan kawasan sekitar daerah ini, Kulai, Senai, Simpang Renggam, Benut dan Skudai,” katanya.
Ujar Wasahlan, ekoran permintaan kedai-kedai tersebut, kini dengan kekuatan lapan orang pekerja mereka tidak menang tangan menghasilkan 2,500 biji melibatkan 14 jenis aneka roti sehari yang bermakna sebanyak 12,500 biji dihasilkan hanya untuk seminggu.-UTUSAN ONLINE