Majlis Sukarelawan Bencana Negara siap siaga hadapi banjir - Utusan Malaysia

Majlis Sukarelawan Bencana Negara siap siaga hadapi banjir

ZUHAIRI Ab. Kadir (kiri) menyampaikan watikah Kapten Kehormat Majlis Sukarelawan Bencana Negara (MSBN) kepada Pengarah Urusan LZ Western, Mohamad Hafizi Mohd. Zanani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Majlis Sukarelawan Bencana Negara (MSBN) siap siaga untuk digerakkan ke lokasi terjejas banjir bagi membantu mangsa bencana tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa MSBN, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, Unit Sukarelawan Bencana peringkat negeri akan digerakkan ke lokasi terbabit serta menyampaikan bantuan kepada mangsa terlibat.

“Persediaan ini penting bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku bencana seperti banjir di seluruh negara.

“Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kita mendapat kerjasama baik daripada kerajaan negeri dan pelbagai pihak yang menghulurkan pelbagai sumbangan dan barangan keperluan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beberapa negeri diramal menghadapi ancaman banjir besar terutamanya Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor pada musim tengkujuh yang telah bermula sehingga awal Januari depan.

Ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dijangkakan hujan lebat di negeri-negeri terbabit bermula 3 November lalu manakala di Sarawak dan Sabah keadaan diramal berterusan sehingga Februari depan.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Aminuddin Hassim dilaporkan berkata, pihaknya menyediakan 5,000 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara bagi menampung jangkaan 100,000 mangsa.

Zuhairi berkata, NGO itu akan terus melaksanakan kerja-kerja sukarelawan membantu rakyat memerlukan dan terbaharu semalam, MSBN menyampaikan sumbangan kepada Masjid Al-Rahman di Kampung Berchang, Tanah Merah, Kelantan yang runtuh ditimpa pokok akibat ribut baru-baru ini.

Beliau dalam pada itu berkata, MSBN baru-baru ini menyampaikan watikah Kapten Kehormat kepada Pengarah Urusan LZ Western di Tanah Merah, Kelantan, Mohamad Hafizi Mohd. Zanani.

Beliau berkata, menerusi penyerahan watikah itu, Mohamad Hafizi menjadi wakil tunggal MSBN di Kelantan.

“Kita berharap Mohamad Hafizi akan menjalankan kerja-kerja sukarelawan bagi membantu rakyat di negeri Kelantan yang terlibat dengan sebarang musibah atau bencana termasuk banjir. 

“Sebelum dilantik sebagai Kapten Kehormat MSBN pun, Mohamad Hafizi begitu dikenali di Tanah Merah sebagai individu yang kerap membantu penduduk tempatan yang memerlukan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.