Majlis akad nikah di masjid, surau dibenarkan di Selangor - Utusan Malaysia

Majlis akad nikah di masjid, surau dibenarkan di Selangor

JAIS polis
MOHD. SHAHZIHAN AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelaksanaan upacara majlis akad nikah pengantin dibenarkan di semua masjid dan surau di Selangor.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada beberapa syarat utama yang ditetapkan pihaknya.

Katanya, majlis tersebut hanya dibenarkan sebanyak enam sesi sehari masing-masing tiga pada sebelah pagi dan petang.

“Jumlah kehadiran pada majlis akad nikah itu pula hanya melibatkan seramai 20 orang individu.

“Individu berkenaan iaitu masing-masing 10 daripada pihak pengantin lelaki dan perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, semua pihak yang menghadiri upacara itu wajib lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

September lalu, JAIS memaklumkan majlis akad nikah dibenarkan berlangsung di masjid, JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah.

Majlis itu boleh dilangsungkan setiap hari namun kehadiran masih terhad kepada pasangan pengantin dan wali saja, manakala individu lain tidak dibenarkan hadir termasuk jurugambar.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Mohd. Shahzihan berkata, pihaknya membenarkan pengurusan jenazah bukan Covid-19 daripada kalangan ahli kariah dilaksanakan di masjid dan surau.

“Ia melibatkan kehadiran ahli waris, kaum kerabat terdekat dan ahli kariah pada bilangan tidak melebihi 100 orang. Jumlah itu tidak termasuk pegawai atau jawatankuasa masjid atau surau berkenaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN