PUTRAJAYA : Projek loji getah nitril butadiena (NBL) di Bandar Getah Kedah (KRC), Padang Terap yang bakal beroperasi pada 2023 bakal menyediakan lebih 1,600 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, projek dibangunkan Hong Seng Industries Sdn Bhd (HS Industries) itu membabitkan kos sekitar RM3 bilion.
Beliau berkata, projek itu juga mampu menarik pelaburan tambahan sebanyak RM5 bilion khususnya melalui industri sokongan dan rantaian nilai industri berkaitan.
“KRC yang juga taman perindustrian getah nasional diwujudkan bagi mempercepatkan pembangunan industri getah negara sekali gus menjadi hab pengeluaran getah bernilai tinggi di ASEAN.
“Bagi saya, pembangunan ini bukan sahaja memberi wajah baharu kepada landskap perindustrian sedia ada di negeri Kedah, malah akan menjana peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi kepada rakyat negeri ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah HS Industries di sini, hari ini.
Majlis sama turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengarah Urusan Kumpulan Hong Seng Consolidated Bhd Datuk Seri Teoh Hai Hin serta Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Seri Jebasingam Issace John.
Katanya, loji berkenaan akan disiapkan secara berperingkat dalam empat fasa iaitu pengeluaran komersial pertama NBL dijangka menjelang suku kedua 2024.
Muhammad Sanusi berkata, apabila siap sepenuhnya kelak, loji berkenaan mempunyai kapasiti pengeluaran penuh sebanyak 960 kilo tan setahun (KTPA).
Dalam pada itu, katanya, universiti-universiti tempatan di NCER juga berpeluang untuk bekerjasama dengan pemain industri dalam bidang R&D dan penerokaan teknologi baharu khususnya dalam bidang bahan kimia termaju.
“Saya amat optimistik bahawa projek pembangunan berimpak tinggi strategik yang dilaksanakan oleh NCIA ini akan dapat menarik pelabur dari dalam dan luar negara berdasarkan potensi pelaburan jangka panjang dan membawa banyak manfaat kepada ekonomi tempatan,” katanya.
HS Industries menerima Surat Tawaran pada 25 Jun lalu dikeluarkan NCER untuk menyewakan semula 102.6 ekar tanah perindustrian yang terletak di KRC bagi tempoh 60 tahun untuk tujuan penubuhan loji NBL. – UTUSAN ONLINE