PETALING JAYA: Keputusan Pas untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mencerminkan semangat muafakat yang utuh dalam kalangan parti-parti anggota gabungan itu.
Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersetuju untuk menggunakan lambang PN pada pilihan raya itu.
Beliau berkata, ketetapan yang ditegaskan melalui kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mengambil kira panduan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama.
“Perikatan Nasional yakin keputusan Pas mencerminkan semangat muafakat yang utuh dalam kalangan parti-parti anggota Perikatan Nasional.
“Mendepani cabaran pandemik Covid-19 dan usaha pemulihan ekonomi negara, PN bertekad untuk menggembleng kesatuan bagi menjamin kestabilan kerajaan, kesinambungan pelaksanaan dasar dan inisiatif demi kemaslahatan sosio ekonomi serta kemakmuran negara.
“PN yakin dan percaya bahawa rakyat negeri Melaka cukup matang dan bijaksana untuk mendukung wadah PN yang senantiasa menganjurkan perpaduan dan mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Selasa lepas, Pas akhirnya membuat keputusan untuk menggunakan lambang PN pada PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung 20 November ini.
Presidennya, Abdul Hadi berkata, penggunaan lambang itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
“Ketetapan ini mengambil kira panduan diberikan Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada 31 Oktober lepas selaras dengan peruntukan Fasal 84 Perlembagaan PAS,” katanya. – UTUSAN ONLINE