Lembu jadi penunggu Jalan Gong Kulim - Utusan Malaysia

Lembu jadi penunggu Jalan Gong Kulim

KAWANAN lembu yang dilepaskan bebas berkeliaran oleh pemiliknya di Jalan Gong Kulim-Pasir Puteh, Kelantan, pada waktu malam hingga awal pagi. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Kemalangan dilaporkan semakin kerap berlaku di Jalan Gong Kulim – Pasir Puteh sejak akhir-akhir ini, dipercayai angkara kawanan lembu yang dibiarkan bebas berkeliaran oleh pemiliknya pada waktu malam di situ.

Difahamkan, kebanyakan nahas terjadi kerana haiwan ruminan yang diibaratkan ‘penunggu’ di laluan tersebut sering melintas secara tiba-tiba terutama di laluan menurun selepas Jambatan Gong Kulim.

Seorang penduduk tempatan, Abdul Samad Ismail, 45, memberitahu Utusan Malaysia, kebelakangan ini, ada penternak didapati sengaja melepaskan lembu-lembunya berkeliaran mencari makan sendiri pada waktu malam.

Tindakan itu katanya, memudaratkan pengguna jalan raya lain terutama penunggang motosikal apabila ada yang cedera parah terjatuh dari kenderaan gara-gara terlanggar lembu-lembu berkenaan.

“Setakat ini kemalangan maut belum berlaku namun ramai yang cedera terutama penunggang motosikal kerana tidak sempat mengelak lembu keluar dari bahu jalan secara tiba-tiba.

“Adakah kerana harga dedak tinggi menyebabkan lembu terpaksa mencari makan sendiri pada waktu malam? Pada waktu siang, mereka tidak berani pula melepaskannya kerana takut ditangkap pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya di sini hari ini.

Seorang pengguna jalan raya, Fadzil Abdullah, 20, pula mendakwa, kereta Perodua Axia miliknya rosak teruk selepas merempuh salah seekor lembu yang melintas jalan di kawasan itu malam tadi.

“Paling saya kesalkan, selepas kemalangan berlaku, tidak ada seorang pun tampil mengaku lembu yang saya rempuh itu miliknya. Siapa mahu mengaku jika terpaksa membayar ganti rugi kerosakan yang dialami,” katanya.

Fadzil berkata, sebagai pengguna tetap laluan tersebut, dia sering terserempak kawanan lembu sehingga lebih 30 ekor sedang berkeliaran di sekitar Jambatan Gong Kulim antara pukul 12 malam hingga awal pagi.

“Kita harap sangat pihak PBT melakukan operasi khas menangkap lembu di kawasan itu bagi mengelak berlalu kemalangan. Ini juga penting untuk memberi pengajaran kepada penternak yang mementingkan diri sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN