KLANG: Kerajaan Negeri Selangor menyediakan lebih 30,000 baucar beli-belah ‘Jom Shopping’ untuk diedarkan kepada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini bagi dimanfaatkan rakyat khususnya masyarakat India yang akan menyambut Hari Deepavali.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pemberian baucer bernilai RM100 itu adalah bagi memastikan beban golongan B40 dalam kalangan masyarakat India terutama mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dapat diringankan.
“DUN Sentosa merupakan antara penerima tertinggi baucer ini, iaitu sebanyak 600 keping.
“Saya harap baucer ini dapat memberi sedikit keceriaan kepada penerima bagi menyambut perayaan kali ini, setelah dua tahun tidak dapat menyambutnya,” katanya selepas mengadakan lawatan di Little India, Jalan Tengku Kelana, di sini, hari ini.
Beliau menambah, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk memberi peruntukan khas kepada individu dalam Belanjawan Selangor 2022 yang akan dibentangkan pada 26 November ini.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan di Little India di sini, suasana di sini dilihat semakin meriah berbanding sebelum ini dilihat suram seperti dilaporkan Utusan Malaysia pada 30 Oktober lalu.
Ketika tinjauan di sana hari ini, kedai-kedai yang menjual barangan sempena sambutan Deepavali mula dipenuhi pengunjung yang mengambil kesempatan untuk membeli-belah selepas kelonggaran sekatan pergerakan dibenarkan termasuk pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi.-UTUSAN ONLINE










