GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri sekali lagi merampas 39 set bubu naga di tiga lokasi bsekitar 3.4 batu nautika barat daya Pulau Aman di sini, kelmarin.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, rampasan itu dilakukan hasil aduan awam serta rondaan rutin Op Pertiwi antara pukul 6.45 petang hingga 7.55 malam.
“Pasukan operasi telah melakukan pemerhatian khusus terhadap lokasi aduan dan menjumpai 39 set bubu naga yang dipasang di perairan berhampiran Pulau Aman.
“Kesemua bubu naga dengan anggaran nilai RM4,680 itu dirampas serta dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










