PUTRAJAYA: Siri Kursus Asas Haji (KAH) musim 1443H/2022M kemungkinan besar akan boleh dilaksanakan semula secara bersemuka di beberapa masjid terpilih di seluruh negara.
Perkara tersebut dibayangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad menjelang persiapan kemuncak ibadah fardu tersebut pada awal Julai tahun depan.
“Setakat ini, isu berkenaan belum diputuskan lagi secara muktamad oleh pihak Tabung Haji, namun sebenarnya memang tiada pun masalah boleh buat KAH secara bersemuka,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Ihtifal Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Kebangsaan dan Ihtifal Sekolah Menengah Agama Malaysia 2021 di sini.
Kursus Asas Haji musim 1442H/2021M pada awal tahun ini buat julung kali diadakan secara dalam talian dan melibatkan sejumlah 31,600 bakal jemaah haji yang sepatutnya bagi giliran 1441H/2020M.
Ia juga dibuat agak lewat daripada jadual apabila bermula 5 Februari lepas dengan modul 14 siri KAH terpaksa ‘dipadatkan’ kepada dua siri serentak dalam hari sama sehingga 21 Mac lalu.
Bagaimanapun, hasrat kumpulan yang tertangguh sejak tahun lepas itu tidak pula kesampaian apabila Malaysia memutuskan sekali lagi tidak menghantar bakal jemaah haji awal Jun lepas.
Ketetapan itu kemudian diikuti keputusan kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan 60,000 jemaah termasuk warga asing yang berada di negara tersebut untuk mengerjakan haji kali ini.
Mengulas lanjut, Idris berkata, dari segi dasar, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tiada sebarang halangan bagi membolehkan Tabung Haji menganjurkan KAH bersemuka.
“Cuma masalah mungkin melibatkan pihak berkuasa agama di negeri-negeri sama ada KAH dapat dilakukan semula di masjid seperti sebelum Covid-19 muncul awal 2020 lalu,” katanya.
Beliau juga merujuk Pelan Pemulihan Negara yang sudah membolehkan sebarang seminar, forum atau mesyuarat diadakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.
Ini termasuk kelonggaran bilangan jemaah untuk solat fardu di masjid yang ketika ini semakin bertambah dengan jarak minimum satu meter, termasuk aktiviti ceramah dan kuliah agama.
KAH kelazimannya akan bermula secara tradisi mengikut takwim Hijrah pada 1 Jamadilawal dan berdasarkan tarikh Islam itu, siri pertama sepatutnya akan bermula 11 Disember depan.
Ini diikuti Kursus Intensif Haji yang kelaziman diadakan pada bulan Rejab dan Syaaban serta peringkat terakhir iaitu Kursus Perdana Haji pada Syawal secara berpusat di setiap ibu negeri.
Namun, dua kursus itu terpaksa dibatalkan pada tahun lalu dan tahun ini ekoran larangan perhimpunan beramai-ramai dalam masjid disebabkan kebimbangan penularan wabak Covid-19.
Kerajaan Arab Saudi ketika ini belum memuktamadkan kuota rasmi jemaah haji Malaysia tetapi jika dibuka kembali, kumpulan pertama dijangka berlepas ke sana pada 31 Mei 2022 depan.
Sementara penerbangan terakhir dari tanah air pula kemungkinan ialah pada 30 Jun 2022 kelak iaitu seminggu sebelum jangkaan tarikh jatuh ibadah wukuf di Arafah pada 8 Julai 2022.
Ia susulan pembukaan semula ibadah umrah untuk warga asing awal September lalu dengan SOP tegas termasuk lengkap divaksin dan merekodkan keberadaan menerusi aplikasi khas.