KSN digesa keluar surat pekeliling wajibkan Bahasa Melayu dalam agensi kerajaan - Utusan Malaysia

KSN digesa keluar surat pekeliling wajibkan Bahasa Melayu dalam agensi kerajaan

DR MOHAMAD SALEEH RAHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena)  menggesa Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Zuki Ali mengeluarkan  arahan mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu melalui surat pekeliling rasmi.

Presidennya, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, gesaan tersebut dibuat selepas melihat banyak pihak yang mengabaikan penggunaan Bahasa Melayu bukan sahaja melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)  tetapi agensi kerajaan sendiri.

Katanya, pengabaian terhadap Bahasa Melayu oleh pihak berkenaan juga sudah berleluasa seolah-olah bahasa tersebut tidak ada nilai sedangkan pekeliling kerajaan sedia menyatakan kewajiban tersebut.

“Selain itu, audit bahasa yang pernah dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum ini tampak tidak berkesan kerana tidak disusuli tindakan yang sewajarnya.

“ Tiada pihak yang diberi kuasa untuk mengambil tindakan hukuman terhadap pihak yang mengabaikan arahan tersebut.Sepatutnya hasil daripada pemantauan audit bahasa disusuli tindakan agar usaha tersebut tidak berlalu sia-sia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegur agensi kerajaan, swasta, serta GLC yang dilihat kurang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kata Ismail Sabri, ia sudah menjadi lumrah Bahasa Melayu kini tidak digunakan sama ada dalam persidangan, mesyuarat, nama syarikat, nama projek mahupun jenama produk mereka.

Dalam pada itu, Mohamad Saleeh berkata, pihaknya berharap agar usaha pemerkasaan bahasa Melayu di pentas antarabangsa dilakukan dengan lebih giat. 

Menurutnya, pengembangan dan pemantapan Bahasa Melayu di luar negara juga hendaklah dilaksanakan dengan lebih gigih oleh DBP.

“Pena juga berharap agar Kementerian Pengajian Tinggi menguatkuasakan pembelajaran bahasa Melayu kepada pelajar dan tenaga akademik asing di universiti awam, bukan sekadar mewajibkan pengambilan kursus bahkan perlu memastikan mereka boleh menguasai Bahasa Melayu.

“Langkah ini akan menjadikan Bahasa Melayu mendapat nilai ekonominya apabila semua pihak mahu mempelajarinya dan kemudian mereka menjadi duta bahasa Melayu apabila kembali ke negara masing-masing,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya