PUTRAJAYA: Seramai empat rakyat Malaysia yang berada di Ethiopia disahkan berada dalam keadaan selamat susulan konflik bersenjata di negara rantau timur benua Afrika itu.
Kementerian Luar menerusi kenyataan turut mengesahkan kesemua mereka itu memang berdaftar dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum, Sudan.
“Para pegawai kedutaan juga sentiasa berhubung rapat dengan mereka dan menasihatkan agar sentiasa berwaspada serta mengutamakan keselamatan masing-masing,” katanya.
Wisma Putra malah memberi jaminan pihaknya sedang memantau rapat perkembangan terkini ekoran perang saudara antara dua kumpulan bersenjata sejak 3 November tahun lalu.
Ia melibatkan pasukan keselamatan negara itu, Angkatan Pertahanan Nasional Ethiopia dan puak pemberontak tempatan yang dikenali sebagai Gerakan Pembebasan Rakyat Tigray.
Pertempuran dilaporkan meletus di Wilayah Tigray, Amhara dan Afar sehingga mengorbankan lebih 3,000 orang awam selain hampir 4,500 cedera dan kira-kira 10,000 tentera ditawan.
Bagaimanapun situasi tegang awal bulan ini memaksa Parlimen Ethiopia mewartakan perintah darurat di seluruh negara selama tempoh enam bulan bermula 5 November lepas.
Mengulas lanjut, Wisma Putra memberitahu, empat warga Malaysia itu juga boleh menimbangkan untuk meninggalkan Ethiopia menerusi penerbangan komersial yang masih beroperasi.
“Selain itu, rakyat Malaysia yang berhasrat melakukan lawatan ke Ethiopia dinasihatkan agar menangguhkan sebarang perjalanan tidak mustahak buat masa ini,” kata kenyataan itu.
Warga Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh terus menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum yang diakreditasi untuk hal ehwal negara berkenaan.
Ia boleh dihubungi melalui +249 99 070 0350 atau e-mel kepada [email protected] atau akaun sosial rasmi Facebook Malawakil.Khartoum atau Twitter MyEmbKhartoum.










