MARAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersedia melaksanakan program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) 2.0 selepas fasa pertama berakhir 3 Oktober lalu.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berkata, MOVAK 1.0 berjaya dan terbukti membantu mencapai peratusan tinggi lebih 95 peratus rakyat lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.
Menurutnya, program itu dilaksanakan di tujuh negeri iaitu Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor menjadi model kejayaan mencepatkan imunisasi kelompok.
“Secara keseluruhan, sebanyak 84,868 dos suntikan vaksin diperuntukkan bagi program inisiatif KPKT dan Kementerian Perpaduan Negara itu, ia merupakan satu pencapaian membanggakan.
“Sehubungan itu, KPKT dan Kementerian Perpaduan Negara sedang meneliti dengan serius cadangan bagi memperkenalkan program MOVAK 2.0,” katanya yang juga Ahli Parlimen Maran kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Komuniti Orang Asli Sungai Jempol di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan, dua keluarga Orang Asli bertuah menerima replika kunci rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Ismail mengakui MOVAK 2.0 berupaya menjadi pemangkin mencepatkan proses suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada golongan sasar jika program berkenaan diteruskan.
“Perkara ini bergantung kepada keperluan untuk meneruskan atau memperkenalkan program MOVAK 2.0 yang bukan sahaja untuk remaja berusia 12 hingga 17 tahun, tetapi juga untuk dos penggalak.
“Untuk dos penggalak ini, kita sedang cari jalan bagaimana cara untuk melaksanakannya, walaupun digalakkan, tetapi belum lagi menjadi arahan atau diwajibkan,” katanya.
Tambah beliau, peratusan penduduk dewasa menerima dos lengkap vaksin di negara ini sudah lebih 95 peratus dan hampir mencapai 100 peratus.
“Jadi, kalau boleh diteruskan program MOVAK 2.0 kerana ia boleh mempercepatkan kita mencapai 100 peratus, apa salahnya program ini diteruskan demi rakyat,” katanya.