SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengeluarkan empat notis kepada peniaga ayam di negeri ini sepanjang tempoh 8 hingga 19 November lalu.
Pengarahnya, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata, pemeriksaan yang dijalankan pada 210 premis yang diperiksa mendapati satu notis dikeluarkan kepada pemborong manakala tiga lagi kepada peniaga pasar yang didapati menjual ayam melebihi harga ditetapkan sebanyak RM9.50 sekilogram.
Katanya, sepanjang tempoh itu, pihaknya menerima dua aduan melibatkan harga ayam mahal manakala enam lagi aduan melibatkan kenaikan harga ayam.
“Berkenaan isu harga ayam, kita sedang pantau pada setiap hari dan dalam tempoh 8 hingga 19 November lalu, kita telah memeriksa tiga pihak iaitu pemborong, penternak dan peniaga pasar.
“Kita dapati harga ayam ditawarkan pada harga RM9.50 hingga RM10 dan sedang mendapatkan butiran terperinci kenapa berlaku kenaikan harga,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan sijil Anugerah Kedai Harga Patut kepada Pusat Pakaian Hari-Hari, Ole-Ole, Seksyen 18 di sini hari ini.
Sijil tersebut diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Negeri Selangor, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni.
Mengulas lanjut, Muhamad Zikril memberitahu, berdasarkan siasatan awal, peniaga ayam memaklumkan kenaikan harga berlaku di peringkat lain iaitu peringkat peladang dan penternak.
“Bagaimanapun, KPDNHEP Selangor tetap menyarankan peniaga supaya meletakkan harga jualan ayam pada RM9.50.
“Kita telah memberikan mereka notis dan tempoh diberikan untuk mereka melengkapkan itu juga berbeza mengikut peringkat sebelum tindakan boleh dikenakan terhadap mereka, jika didapati bersalah,” ujarnya.
Akhbar baru-baru ini melaporkan pengguna mengeluh apabila ayam dijual pada harga RM10 sekilogram berbanding RM9.50 yang ditetapkan. Kenaikan harga ayam dilihat berlaku mendadak apabila dijual pada harga RM8 sekilogram pada September lalu dan naik RM2 dalam tempoh dua bulan.
Sementara itu, Muhamad Zikril yang ditanya mengenai kekurangan bekalan minyak peket satu kilogram (kg) di negeri itu menjelaskan, pihaknya telah berunding dengan 70 pembungkus semula minyak masak bersubsidi bagi mengatasi masalah berkenaan.
“Kita dapati bahawa bekalan minyak peket di sesetengah premis terpencil ada yang tidak terima bekalan. Kita sedang mengenal pasti rantaian dan minta bekalan minyak peket tersebut disegerakan.
“Secara umum bekalan minyak peket adalah stabil cuma kita dapati ada beberapa isu dalam kalangan peniaga tersebut seperti masalah pengangkutan dan kita sudah minta mereka selesaikan isu tersebut,” katanya. -UTUSAN ONLINE