SEPANG : Siasatan berhubung laporan polis bekas isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Morib yang dilapor mencederakan isterinya kini di peringkat kajian di Bukit Aman.
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kes melibatkan Hasnul Baharuddin telah dirujuk untuk kajian di Bukit Aman sebelum dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan mahkamah.
“Kes telah dirujuk kepada Bukit Aman untuk kajian sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan pendakwaan di mahkamah, “katanya ringkas ketika ditanya perkembangan siasatan kes itu dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang hari ini.
Difahamkan kes ke atas Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Hasnul memukul bekas isterinya, Juliani Jalilah Abdullah, 38.
Bulan lepas, bekas isterinya Juliani Jalilah telah membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Kuala Langat berhubung kejadian itu yang didakwa berlaku pada 21 Ogos, ketika kedua-dua mereka masih merupakan pasangan suami isteri.
Hasnul yang merupakan ADUN daripada Parti Amanah dan Timbalan Speaker DUN Selangor bagaimanapun mendakwa laporan itu dibuat dengan ‘niat jahat’ selepas perceraian mereka.
Hasnul berkata, laporan itu dibuat beberapa bulan selepas kejadian itu untuk dikemukakan bagi rujukan Mahkamah Syariah dan tindakan lanjut terhadap Hasnul.- UTUSAN ONLINE










