TUMPAT: Kerang-kerangan di sekitar perairan Pantai Geting di sini, selamat untuk dimakan dan tidak lagi dicemari toksin saraf dikenali sebagai Saxitoxin yang berasal dari alga berbahaya spesies Alexandrium Minutum.
Perkara itu disahkan Pengarah Perikanan negeri Nazri Ishak dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nazri, hasil keputusan analisis makmal terkini sepanjang dua minggu lalu menunjukkan kandungan bahan kimia berkenaan sudah berada di tahap piawaian yang selamat.
“Hasil keputusan analisis terkini Makmal Biosekuriti Perikanan mendapati spesies kerang-kerangan seperti tiram, lokan, kepah dan lala yang dikutip sekitar perairan Geting, disahkan selamat untuk dimakan.
“Kita dapati alga berbahaya iaitu Alaxendrium sp. telah berada pada tahap piawaian yang selamat. Justeru notis larangan yang dikeluarkan jabatan ini pada 11 Oktober lalu adalah terbatal,” katanya.
Terdahulu, pada bulan lalu, Jabatan Perikanan Kelantan mengeluarkan larangan aktiviti memungut, menjual dan makan spesies kerang-kerangan di kawasan perairan Pantai Geting, di sini, kerana dicemari Saxitoxin. – UTUSAN ONLINE










