PUTRAJAYA: Kejayaan memenangi 21 daripada 28 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semalam, menunjukkan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) kini kembali pulih.
Ketua Penyelidik Ketua Penyelidikan ILHAM Centre, Prof. Madya Dr. Mohd. Yusri Ibrahim berkata, kemenangan itu menepati hipnosis dan dapatan awal kajian lapangannya yang menunjukkan BN akan mendominasi Melaka biarpun berlaku pertembungan pelbagai penjuru.
Beliau berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, BN gagal mempertahankan Melaka apabila berlaku ayungan pengundi Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) disebabkan beberapa faktor bersifat semasa seperti pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) selain kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Apabila faktor tersebut pudar sekarang, pengundi etnik Melayu yang sebelum ini memilih PH kembali menyokong UMNO dengan mengundi BN sekali gus mengembalikan semula UMNO sebagai parti dominan di kawasan lingkaran Melayu seperti sebelum PRU-14,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan PRN Melaka dengan BN menang 21 kerusi, PH (lima) dan Perikatan Nasional (dua), manakala semua calon bebas hilang wang pertaruhan.
Malah, BN juga berjaya mengungguli dengan undi popular sebanyak 40 peratus, diikuti PH (33 peratus) dan PN (24 peratus) biarpun kadar peratusan keluar mengundi adalah rendah berbanding sasaran SPR SPR sebelum ini.
Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, kemenangan berkenaan juga mencerminkan legitimasi keputusan UMNO/BN untuk bertanding secara solo di Melaka adalah tepat dan tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak.
Katanya, keputusan ini akan memberi keyakinan kepada UMNO yang mengetuai BN untuk meneruskan pendirian bertanding secara sendirian dalam PRU-15 nanti.
Pada masa sama, keputusan PRN berkenaan juga mengesahkan bahawa rakyat khususnya pengundi Cina mula beransur meninggalkan PH dan mula memberi sokongan semula kepada BN khususnya kepada MCA.
“Walaupun DAP masih berjaya mempertahankan beberapa kerusi tradisi mereka, namun parti tersebut mempamerkan keputusan yang jauh merosot berbanding PRU-14 sama ada bilangan kerusi atau undi popular,” katanya.
Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff pula berpandangan, keputusan PRN Melaka menunjukkan rakyat kini sudah hilang kepercayaan terhadap PH yang ditunjangi DAP, PKR dan Amanah.
Oleh itu, Kamarul Zaman menjelaskan tidak hairanlah jika ramai calon PH menduduki tangga tercorot dalam perebutan kerusi di PRN Melaka, semalam.
Malah, beliau berkata, lebih mengejutkan apabila calon DAP yang juga merupakan Pengerusi DAP Melaka, iaitu Datuk Tey Kok Kiew hanya memperoleh 3,095 undi, juga mendapat tempat tercorot di N.24 Bemban, di belakang calon Bersatu, Dr. Mohd Yadzil Yaakub yang memperoleh 4,211 undi dan di belakang calon MCA, Datuk Koh Chin Han, yang memperoleh 3,883 undi.
“Oleh itu, kepada Bersatu dan Pas, usahlah berdukacita dengan kekalahan di tangan UMNO, yang masih menjadi sahabat mereka di peringkat Pusat, dalam PRN Melaka ini, sementara kehebatan UMNO di Melaka perlu diakui, Bersatu dan Pas boleh berbangga kerana prestasi mereka jauh lebih baik daripada PKR dan Amanah di banyak kerusi.
“Bersatu dan Pas juga boleh berbangga dengan hakikat bahawa tidak seorang pun daripada semua calon mereka kehilangan wang deposit berbanding seorang calon PKR dan seorang calon Amanah yang tanpa disangka-sangka kehilangan wang deposit,” katanya.- UTUSAN ONLINE










