Kempen PRN Melaka: Beri tumpuan isu anak muda - Utusan Malaysia

Kempen PRN Melaka: Beri tumpuan isu anak muda

MUHAMMAD DANISH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Isu pengangguran, pembentukan generasi tercicir dan pemantapan kemahiran pasca Covid-19 seharusnya menjadi tumpuan utama kesemua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka, Muhammad Danish Zainudin berkata, masalah itu perlu dilihat secara serius bagi memastikan perancangan strategik memperkasa anak muda dapat dirancang serta dimuktamadkan.

Jelas beliau, anak muda di Melaka menjadi kumpulan yang sangat penting dalam menentukan kesinambungan urus tadbir negeri.

“Keputusan mereka menentukan sama ada Melaka dipimpin oleh sebuah kerajaan yang gagal atau sebuah kerajaan rencam yang meletakkan keperluan rakyat sebagai kepentingan utama dalam menentukan hala tuju negeri untuk tempoh lima tahun yang akan datang.

“Justeru, tiga tumpuan yang seharusnya menjadi keutamaan pada ketika ini adalah untuk menangani kemiskinan, mewujudkan pelan jangka panjang yang komprehensif pasca Covid-19 serta tawaran untuk golongan muda. 

“Ini kerana anak muda Melaka adalah golongan sasar yang menentukan hala tuju negeri pada masa depan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN