Kempen kesedaran penipuan dalam talian diperkasa - Utusan Malaysia

Kempen kesedaran penipuan dalam talian diperkasa

penipuan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kempen  Pencegahan Jenayah Komersial Dalam Talian  terus diperkasa dengan menjadikannya sebagai acara tahunan dalam usaha membentuk kesedaran awam tentang modus operandi sindiket penipuan dalam talian.

Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Nor Azman Muhammad Yusuf berkata, kempen itu wajar diteruskan sebagai satu langkah pencegahan seiring langkah pembanterasan dan penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ini kerana, kata beliau, walaupun sering dilakukan pendedahan, kes membabitkan penipuan dalam talian masih meningkat dan ia menunjukkan kadar kesedaran masyarakat berhubung jenayah sedemikian belum menyeluruh.

“Justeru, kempen kesedaran Kempen Pencegahan Jenayah Komersial Dalam Talian yang diadakan selama sebulan bermula 1 November lalu ini dilakukan juga pada tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengedarkan beg berisi pelbagai risalah mengandungi maklumat berkaitan jenis-jenis penipuan dalam talian antaranya penipuan pelaburan, pinjaman tidak wujud, Macau Scam dan Love Scam di Plaza Tol Jalan Duta arah ke ibu negara, di sini.

Yang hadir sama, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Menurut Nor Azman, sebanyak 400 beg berisi risalah diedarkan kepada pengguna lebuh raya hari ini termasuk penunggang motosikal dalam usaha memberi kesedaran lebih meluas kepada semua golongan masyarakat.

“Sejak kempen ini dilakukan, kita mendapati trend kes menurun, bagaimanapun kajian masih dijalankan tentang keberkesanan kempen ini daripada segi statistik kes yang dilaporkan dalam tempoh sebulan kempen ini dilaksanakan.

“Kempen ini jelas mendapat respons yang amat baik daripada awam dan kita berharap kempen secara berterusan yang dilakukan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya