PETALING JAYA: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi bukti nyata bahawa ramai rakyat Malaysia merindui pentadbiran kerajaan parti itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat Melaka telah membuktikan kepada semua bahawa rakyat Malaysia masih sayangkan BN.
Katanya, oleh kerana itu, orang Melaka kembali mencurahkan kasih sayang kepada BN dalam PRN Melaka kali ini.
“Rakyat Melaka menjadi bukti yang nyata ramai rakyat Malaysia merindui pentadbiran kerajaan BN.
“Kerajaan BN yang pernah membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara dan negeri-negeri di Malaysia.
“Yakinilah BN pasti membalas kasih sayang yang telah diberikan rakyat Melaka dengan sepenuh jiwa dan raga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, PRN Melaka menyaksikan BN diumumkan menang dengan majoriti selesa sebanyak 21 kerusi daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.
Menurut Ahmad Zahid, BN akan mengembalikan kehebatan kemakmuran Melaka seperti yang pernah dikecapi bersama.
“Semoga kejayaan ini berterusan di negeri-negeri lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim kau berkatilah, redailah dan rahmatilah bumi Melaka. Lindungilah rakyatnya agar kembali aman makmur dan sejahtera dibawah pentadbiran kerajaan BN,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jentera BN dalam melakar sejarah baharu BN bangkit kembali sebagai parti yang diyakini oleh rakyat Melaka.
Katanya, kejayaan mereka kini tercatat dalam sejarah perjuangan BN yang sangat manis dan indah.
“Saksikan juga kehebatan jentera BN di Melaka tua dan muda, lelaki, wanita, Melayu, India dan Cina bersama kaum-kaum lain.
“Tahniah jentera BN, namun dalam kegembiraan ini jangan sesekali kita terlupa kepada Yang Maha Esa. Penentu kepada segala-galanya maka bersujud syukurlah kepada-Nya atas kemenangan dikurniakan.
“Kemenangan bukan sekadar kuasa mentadbir, tetapi sebuah amanah oleh rakyat Melaka yang amat besar ertinya.
“Kini masa untuk bergandingan bahu bersama memakmurkan dan memajukan lagi negeri bertuah ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










