KOTA KINABALU: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberi petunjuk jelas bahawa keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap BN masih utuh.
Perkembangan ini secara tidak langsung memberi keyakinan kepada BN untuk bergerak secara solo menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kemenangan pada PRN Melaka ini membuktikan BN mampu meraih kemenangan dengan bergerak sendirian.
Maka, beliau tidak menolak kemungkinan BN akan bergerak secara solo bagi menghadapi PRU-15.
“Pada PRN kali ini BN dicabar untuk bergerak sendirian dan hasilnya sudah kita lihat dan ini memberi keyakinan kepada BN untuk bergerak sendirian pada PRU akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, berdasarkan dua PRN yang lepas iaitu PRN Sabah dan Melaka, tohmahan dan fitnah yang menyatakan BN dan UMNO sudah terkubur sama sekali tidak benar.
Hakikat yang dilihat melalui dua PRN sebelum ini membuktikan rakyat masih setia bersama BN yang selama ini mampu menstabilkan politik negara.
Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, kejayaan ini juga membuktikan konsep kerja berpasukan daripada semua jentera parti menyumbang kepada kemenangan BN pada kedua-dua PRN tersebut.
“Seperti saya nyatakan sebelum ini, BN/UMNO adalah sebuah parti yang mempunyai struktur yang lengkap justeru, jika semua jentera berfungsi dan digerakkan kejayaan pasti dapat dicapai,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, semua pemimpin yang menang pada PRN Melaka harus melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan dengan terus berkhidmat membela nasib rakyat.
Bung Moktar berkata, pada PRN ini, rakyat bersikap lebih matang dengan memilih parti yang boleh membawa kestabilan politik demi membawa kemajuan dan pembangunan kepada negara.
Tambah beliau, calon-calon muda yang ditampilkan pada PRN Melaka juga menunjukkan BN sedang melakukan proses meremajakan parti. Justeru, calon muda yang terpilih perlu memikul tugas yang diamanahkan dengan sebaiknya.- UTUSAN ONLINE










