Kemenangan BN pengaruhi kenaikan harga barang?- Armada Johor - Utusan Malaysia

Kemenangan BN pengaruhi kenaikan harga barang?- Armada Johor

MUHAMMAD SHAMSUDDIN PAIJAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Johor mencetuskan persoalan sama ada ada kenaikan barangan dipengaruhi oleh kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu di samping perkataan ‘BN’ yang membawa maksud ‘Barang Naik’.

Ketua Armada Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan berkata, pihaknya kesal dengan peningkatan mendadak harga barangan makanan begitu drastik dan melampau tanpa memikirkan nasib rakyat yang kini dalam proses pemulihan ekonomi. 

“Peningkatan harga barangan makanan dan produk lain dilihat seperti tiada penguatkuasaan dan pemantauan pihak kerajaan dalam menangani isu ini.

“Umum mengetahui bukan sahaja barangan naik, tetapi harga sayuran dan minyak masak juga dilihat mengalami peningkatan yang tidak masuk akal. 

“Adakah peningkatan ini dipengaruhi daripada kemenangan BN di PRN Melaka? Apakah BN membawa maksud ‘Barang Naik’? Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu segera mengambil tindakan menyelesaikan isu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Muhd. Shamsuddin berkata, Armada Bersatu Johor mengesa kerajaan supaya menubuhkan pasukan petugas dengan kadar segera bagi mengetahui punca kenaikan melampau ini sehingga mencecah 200 peratus.

Katanya lagi, kerajaan juga perlu meneliti semula struktur dan kelemahan agensi-agensi pertanian di negara ini dengan meluaskan peranan sebagai penyimpan stok dan pengedaran bagi menstabilkan bekalan dan harga. 

“Ini kerana pada suatu ketika, berlaku lambakan hasil keluaran pertanian di pasaran dan pada ketika lain, bekalan tidak mencukupi,” katanya.

Muhd. Shamsuddin menambah, pihaknya mencadangkan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sama ada di peringkat persekutuan atau negeri ditubuhkan bagi menceburi bidang penghasilan input pertanian, pengeluaran makanan pengguna dan makanan ternakan yang strategik bagi menstabilkan bekalan dan mengelakkan tekanan harga di pasaran. 

Jelas beliau, penubuhan GLC itu seiring dan menepati dengan Dasar Sekuriti Makanan Negara dan mampu mengurangkan beban kewangan negara yang terpaksa mengimport bahan makanan dengan nilai puluhan bilion ringgit setahun.

“Penubuhan GLC juga akan mendorong kepesatan penggunaan teknologi tinggi seperti sistem automasi, robotik serta dron dalam operasi sektor itu di samping mewujudkan peluang-peluang baharu pekerjaan untuk rakyat tempatan.

“Justeru, Armada Johor mendesak kerajaan mencari peruntukan segera untuk menubuhkan GLC baharu atau meminta GLC pertanian sedia ada menyertai sektor pengeluaran makanan sebagai langkah jangka panjang menangani isu kenaikan harga makanan di pasaran,” katanya.

Selain itu, Muhd. Shamsuddin berkata, pihaknya juga kesal isu seperti kekurangan bekalan benih dan lambakan hasil pertanian yang merugikan petani atau peladang.

Malah kenaikan harga input pertanian pun tidak pernah reda dan berlarutan sehingga menjadi alasan kepada peningkatan kos operasi pertanian dan harga makanan di pasaran.

“Untuk tindakan jangka pendek, kerajaan perlu mempertingkatkan pemantauan terhadap tindak- tanduk pembekal dan orang tengah serta peruncit supaya tidak memanipulasi harga untuk mengaut keuntungan berlebihan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.