Kembar seiras antara penerima ijazah Konvokesyen UPSI - Utusan Malaysia

Kembar seiras antara penerima ijazah Konvokesyen UPSI

ADIK beradik kembar seiras, Norhidayati Misman (kiri) dan adiknya Norhidayani menerima ijazah pada Majlis Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-22 di Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN/IHSAN UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Pasangan kembar seiras merupakan antara penerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam (dengan Kepujian) Fakulti Sains Kemanusiaan pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-22 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.

Noorhidayati Misman, 24, dan adiknya, Noorhidayani Misman, 24, berasal dari Sungai Besar, Selangor berkata, mereka sememangnya mengimpikan cita-cita untuk menjadi pendidik dalam bidang Pengajian Islam.

Mereka mengakui seronok apabila dapat naik ke pentas menerima ijazah bersama-sama. 

“Ketika kami mengisi borang permohonan sambung pengajian, masing-masing tidak jangka langsung memilih jurusan yang sama. 

“Namun, rezeki kami ditawarkan jurusan pengajian sama  UPSI, malah susunan kelas dan jadual pengajian pun sama hingga ke tamat pengajian hari ini,” jelas Noorhidayani.

Noorhidayati dan Noorhidayani aktif dalam program persatuan, menjadi rakan exco kolej kediaman dan sering menyertai program universiti hingga ke peringkat antarabangsa memberi kelebihan mereka tinggal di dalam kolej hingga penghujung tempoh pengajian. 

Norhidayati, yang meraih Anugerah Dekan  setiap semester sebanyak lapan kali berturut turut, berpendapat amalan menguruskan masa dan jadual dengan bijak selain menyertai pelbagai aktiviti anjuran universiti menjadi resepi kejayaannya. 

“Kami juga memegang satu prinsip ketika berada di menara gading, kami mahu membanggakan ibu bapa kami kerana kami bukanlah dari keluarga yang senang, ” kata Norhidayati.

Berikutan penangguhan sesi Istiadat Konvokesyen tahun 2020 akibat pandemik Covid-19, mereka memanfaatkan masa  mencari peluang pekerjaan bagi pendapatan tambahan sementara menunggu panggilan penempatan bertugas sebagai guru sekolah.

 Norhidayati bertugas sebagai pembantu jualan di sebuah syarikat Industri Kecil Sederhana (IKS) di Sabak Bernam, Selangor manakala Norhidayani bekerja sambilan sebagai perunding produk kecantikan.

Sementara itu,  satu lagi pasangan adik beradik, Rabi’atul Adawiyah Salleh, 35, dan adiknya, Ainun Mardiyah, 29, masing-masing menerima Ijazah Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pembangunan Manusia.

Mereka menyifatkan doa ibu bapa dan keluarga adalah pendorong kepada kejayaan mereka.

“Kami bersyukur akhirnya dapat menamatkan pengajian bersama-sama. Kadang-kadang terfikirkan betapa letihnya perlu berulang alik dari Kuala Lumpur ke Tanjung Malim hingga adakalanya tiba lewat malam pulang ke rumah. 

“Segala pengorbanan suami dan keluarga mengurus anak-anak dan penat lelah kami akhirnya dibalas dengan segulung ijazah yang cukup bermakna,” kata Rabi’atul Adawiyah.

Bertugas sebagai seorang tenaga pengajar di sebuah kolej swasta, Rabi’atul Adawiyah bercita-cita untuk mengusahakan pusat jagaan kanak-kanak persendirian bersama-sama adiknya.

“Banyak cabaran kami lalui sepanjang pengajian terutamanya ketika menyiapkan latihan ilmiah yang menguji  kesabaran selain memelihara hubungan baik dengan penyelia,” kata Ainun Mardiyah. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN