Kajian ancaman siber murid sekolah - Utusan Malaysia

Kajian ancaman siber murid sekolah

Polis menafikan mesej taktik penipuan baharu ‘Sim Swap’. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: CyberSecurity Malaysia sedang melaksanakan Kajian Tanda Aras Kesedaran Keselamatan Siber di seluruh negara bagi mengkaji pemahaman dan sikap generasi muda dalam teknologi digital dan internet.

Menerusi satu kenyataan, agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) itu memaklumkan, kajian komprehensif tersebut menyasarkan murid dari sekolah-sekolah bantuan kerajaan di bawah Kementerian Pelajaran dan dikendalikan penyelidik akademik Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr. Amirudin Abdul Wahab berkata, kajian tersebut merupakan salah satu projek pihaknya di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang mendapat kelulusan untuk dilaksanakan.

“Berdasarkan mandat yang diberikan kerajaan, sebagai pusat pakar teknikal keselamatan siber, kami sentiasa berusaha meneruskan kelangsungan membudayakan amalan dan penggunaan teknologi dan internet secara positif, beretika dan bertanggungjawab khususnya kepada generasi muda dalam Keluarga Malaysia,” katanya hari ini.

Tambah beliau, perkembangan teknologi digital yang dinamik sememangnya memberi banyak faedah, bukan sahaja kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan fizikal, malah perkembangan sosio budaya Keluarga Malaysia.

Sebagai contoh katanya, perbuatan membuli kini bukan sahaja dilakukan secara fizikal, malah ia dilakukan secara dalam talian sehingga mengorbankan nyawa.

“Akses kepada bahan lucah seperti pornografi juga semakin berleluasa menyebabkan berlakunya keruntuhan akhlak bukan sahaja kepada orang dewasa malah golongan muda,” katanya.

Kajian dengan kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pelajaran itu mengambil masa empat minggu bagi proses pengumpulan data dengan jumlah sampel 12,186 murid sekolah rendah, menengah dan orang kurang upaya serta 1,260 ibu bapa di seluruh negara, yang dijalankan secara dalam talian dan temu bual.

Sementara itu, Pengarah BSTP, Maznah Abu Bakar berkata, kajian itu dilaksanakan tepat pada waktunya kerana warga sekolah khususnya murid terdedah dengan pelbagai ancaman teknologi masa kini, ketika negara berada di pasca pandemik Covid-19 yang membawa pelbagai perubahan baharu dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran.

“Diharapkan agar hasil kajian ini dapat memberi informasi mengenai pola tingkah laku, sikap serta corak penggunaan internet dalam kalangan murid termasuk penggunaan media sosial, pengendalian peranti digital, pemahaman murid mengenai keselamatan internet.

“Ia seperti penggunaan kata laluan serta tahap kawalan ibu bapa terhadap penggunaan komputer dan internet oleh anak-anak mereka,” katanya.

Pada masa sama, kajian itu juga dijangka dapat mengenal pasti tahap kesedaran murid sekolah terhadap komponen keselamatan siber seperti buli siber, kecurian identiti, penggodaman, mengenal pasti korelasi aktiviti dan tabiat dalam talian dengan ancaman dan jenayah siber.

Selain itu, ia menganalisa tahap kesedaran serta langkah kawalan oleh ibu bapa terhadap ancaman keselamatan siber.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya