TIDAK banyak kugiran yang berjaya mencuri tumpuan dalam tempoh dua tahun pandemik ini tetapi Joyberry tampil bergaya. Dengan tiga lagu yang dilancarkan berasingan, nama mereka meniti di bibir penggiat lapangan dalam lingkungan saya; baik media, kugiran mahupun penganjur gig.
Penampilan pertama mereka tahun ini dengan Prospektor agak suam-suam kuku. Namun, Disko Kilat melonjakkan nama kugiran tiga sosok dari Sungai Petani ini. Kesegaran yang disokong irama sohor synth pop membuatkan cakap-cakap tentang mereka semakin meluas.
Kemudian, kehadiran Selamanya melengkapkan kebangkitan mereka selepas kurang berhasil menarik perhatian ramai melalui EP pertama, Can U Teach Me How to Start Over?
Komposisi lagu segar bersama produksi berpiawai tinggi meletakkan mereka sebagai antara ‘kugiran pandemik’ yang cemerlang. Mungkin keterujaan sebegini dalam lapangan kali terakhir dilihat semasa Hacktick! hadir dengan EP Dog Days Diaries pada 2018. Namun, masih ada satu sisi ujian yang belum dilepasi sepenuhnya oleh Joyberry, iaitu persembahan langsung.
Potensi masa hadapan
Ketika menemu bual Joyberry, mereka kelihatan kesal dan mungkin sedikit malu dengan hasil kerja mereka yang terdahulu. Seperti membaca hantaran memalukan dalam Facebook Memories, mereka mahu bergerak ke hadapan tanpa kenangan zaman amatur.
Ada dua sisi dapat dilihat di sini. Pertama, mereka menganggap hasil kerja itu sebagai maruah. Ini petanda positif kerana mereka mengambil berat kualiti hasil kerja. Jika sikap ini terus wujud dalam diri mereka, memang boleh pergi jauh.
Kedua, saya fikir apa yang dihasilkan dulu tidak patut dikesalkan. Seni mereka sebuah kembara. Tidak kisah bagaimana kita bermula, yang penting di mana akhir kita, lebih baik atau masih di takuk sama?
Jadilah seperti ibu yang setia merekod ketinggian anaknya di dinding rumah. Berbangga dengan perkembangan sendiri dan sentiasa ingat di mana kita bermula.
Impak orang luar
Meneliti diskografi Joyberry, ada pertumbuhan jelas dapat dilihat, terutamanya dalam tiga lagu tunggal mereka tahun ini. Paling jelas dari sudut penerbitan dan susunan. Prospektor, Disko Kilat dan Selamanya sangat-sangat puas didengar dengan sentuhan dinamik susunan yang tidak membosankan.
Namun, ada juga perkara yang kekal dari awal kemunculan Joyberry sehingga sekarang, iaitu selera penciptaan lagu yang baik. Ini teras kekuatan Joyberry. Lagu-lagu dalam EP pertama mereka dicipta dengan melodi dan rentak yang sedap, cuma kurang dari segi rakaman, susunan dan adunan.
Perubahan dapat dilihat apabila mereka melibatkan Shaheir Jibin sebagai penerbit bersama di samping pemain bass dan vokalis, Aiman B. Bermula dengan Another Bedroom Pop Song yang dimuatkan dalam kompilasi PKP Project: Stay Home, Stay Safe bersama tiga artis lain, bunyian yang diberikan Joyberry lebih bercita rasa dan lengkap.
Betul kita independen tetapi ia tidak bererti semua hal kita perlu buat sendiri. Joyberry membuat pilihan bijak dengan melibatkan Shaheir yang ada reputasi tersendiri, terutamanya dengan hasil kerjanya bersama Pasca Sini sebelum ini.
Pandang ke depan
Dalam muzik, tidak kira di peringkat industri mahupun lapangan, lagu yang sedap belum cukup menjamin kerelevanan dalam jangka masa panjang. Hal-hal di luar muzik seperti pengurusan dan pemasaran juga ada peranan besar.
Saya fikir, hal-hal ini yang perlu diberi perhatian oleh Joyberry selepas ini. Barang dah sedap tapi macam mana nak jual? Itu persoalan penting yang perlu dijawab mereka.
Walaupun isi artikel ini banyak kata puji terhadap mereka, namun realitinya lagu paling popular mereka di Spotify, Disko Kilat masih belum mencecah 3,000 putaran pun. Mungkin dalam lingkungan saya, nama Joyberry sering disebut-sebut tetapi gemanya masih belum sampai ke seluruh lapangan.
Seperti yang sering kita baca di dinding sekolah, gagal merancang bererti merancang kegagalan. Maka, Joyberry perlu segera mengatur strategi untuk terus relevan dalam lapangan dan lagu-lagu mereka dapat mencapai lebih banyak telinga. Momentum yang ada ketika ini wajib dimanfaatkan segera.
Jika perlu lantik pengurus, lantiklah segera supaya urusan kugiran dapat berjalan lebih lancar. Belajar teknik pemasaran yang baik. Ilmu ini sudah tersedia banyak. Ikuti hantaran bermanfaat Az Samad, Jennifer Thompson dan Ruviyamin, belajar apa yang patut dari orang lama.
Salah satu teknik pemasaran yang baik untuk kugiran independen ialah menyertai sebanyak mungkin gig. Mereka sudah beraksi dalam gig Counter Culture tempoh hari dan beberapa gig dalam talian. 26 Disember nanti, mereka bakal beraksi dalam gig Neue Lite pula.
Berikan persembahan terbaik dan anda akan mendapat ramai peminat baharu, itu saya percaya. Maka, buat Aiman B., Ashfan dan Zaki, rebut peluang ini bersungguh-sungguh kerana jika Joyberry hilang dalam radar muzik tempatan, saya akan bersedih lama.