ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Negeri Johor hari ini membentangkan Bajet 2022 dengan defisit kali kedua sebanyak RM286.47 juta selepas merekodkan belanjawan lebihan selama 10 tahun berturut-turut sebelum ini.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, unjuran hasil negeri tahun depan adalah sebanyak RM1.67 bilion manakala unjuran perbelanjaan berjumlah RM1.95 bilion.
Bertemakan Memperhebat Kesejahteraan Johor, kerajaan negeri memperuntukkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.087 bilion sementara RM870 juta diperuntukkan untuk pembelanjaan pembangunan, yang bakal digunakan bagi melaksanakan empat impetus dan 12 agenda utama dalam belanjawan tersebut.
“Bagaimanapun anggaran hasil dan defisit kami tertakluk kepada tahap ketidakpastian yang tinggi dipengaruhi beberapa faktor antaranya seperti kemunculan varian Covid-19 yang tinggi, impak sosial yang tinggi dan pembukaan sempadan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan bajet tersebut pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.
Menyentuh mengenai prestasi pelaksanaan Bajet Johor 2021, Hasni berkata, sebanyak 141 inisiatif dengan peruntukan keseluruhan RM850 juta telah mencapai 85.1 peratus pelaksanaan setakat suku ketiga tahun ini.
Hasni berkata, selepas mengalami penguncupan 4.6 peratus pada 2020, ekonomi Johor diunjurkan berkembang sekitar 3.5 sehingga 4.1 peratus pada tahun ini dan dijangka terus mengalami pertumbuhan pada tahap prakrisis pada separuh tahun depan.
“Tema Bajet Johor 2022 yang dipilih selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan kelangsungan rakyat yang terjejas berikutan pandemik. Bajet ini bermakna kerajaan menyerlahkan usaha kerajaan negeri untuk memberikan suntikan dan lonjakan baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial yang mapan dan berdaya tahan.
“Segala pertimbangan dalam bajet akan dipandu dua asas utama iaitu mendekati dan meringankan beban rakyat yang terjejas akibat Covid-19 dan kedua mempergiat usaha awalan dalam memulihkan sektor-sektor ekonomi secara menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, Hasni turut mengumumkan kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor akan diperuntukkan RM200,000 setahun untuk mereka menjalankan tanggungjawab di kawasan masing-masing.
Malah, beliau juga memberitahu, terdapat peruntukan tambahan kepada setiap ADUN berjumlah RM50,000 bagi menjalankan penyambutan perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.
“Saya harap peruntukan ini dapat membantu setiap wakil rakyat di Johor menyediakan perkhidmatan lebih baik di kawasan masing-masing,” katanya. – UTUSAN ONLINE