KANGAR: Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) Perlis akan menganjurkan Faraid Simple Tier (eFaST) secara dalam talian dari Dewan Utama, Kompleks Darul Qada’ Tuanku Syed Sirajuddin JKSN Perlis di sini, esok.
Majlis tersebut akan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Baginda turut merakamkan setinggi penghargaan serta tahniah kepada seluruh warga JKSN Perlis kerana telah berjaya membangunkan sistem eFaST iaitu satu kaedah pengiraan faraid selapis.
“Pembangunan sistem eFaST ini, insya-Allah dapat meningkatkan lagi keprihatinan ahli waris dalam pengurusan harta pusaka mereka. Sistem ini, pastinya akan memudahkan waris untuk mendapatkan perintah faraid dalam tempoh masa yang lebih singkat.
“Justeru, ia akan menggalakkan waris untuk segera tampil ke hadapan bagi menyelesaikan isu pembahagian harta pusaka dalam tempoh yang sewajarnya,” titah baginda di sini hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin turut menyeru kepada seluruh pegawai dan juga kakitangan JKSN agar sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik serta ikhlas kepada rakyat dan bersama-sama membantu serta memikul peranan dalam pembangunan ummah. – UTUSAN