Jalan baharu Serkat-Tanjung Piai bantu lonjak pelancongan Pontian - Utusan Malaysia

Jalan baharu Serkat-Tanjung Piai bantu lonjak pelancongan Pontian

HASNI Mohammad beramah mesra bersama pembeli semasa meninjau Proses Transaksi Baucer Barangan Keperluan Kasih Johor sempena lawatan kerja ke daerah Pontian di Pasaraya Target, Benut, Pontian di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Projek naik taraf serta pelebaran jalan melibatkan laluan Serkat ke Tanjung Piai, di sini mampu meningkatkan semula sektor pelancongan di Tanjung Piai yang merupakan kawasan Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar).

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) turut membangunkan beberapa fasiliti di sepanjang laluan itu bagi memastikan kemudahan kepada pengunjung untuk ke Tanjung Piai. 

“Kita berharap projek pelebaran jalan dari Serkat ke taman negara yang merupakan penghujung benua Asia ini mampu mengembalikan nama Tanjung Piai sebagai sebuah kawasan pelancongan yang terkenal,” katanya ketika mengadakan sesi lawatan ke daerah itu. 

Terdahulu beliau menyaksikan penyerahan dokumen penyiapan projek daripada IRDA kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor di Surau Al-Wadud, Tanjung Piai, di sini hari ini. 

Sementara itu, Hasni berkata, kerajaan negeri juga bakal memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi menaik taraf Dataran Dato’ Jalok, Benut bagi memberi keselesaan kepada warga Pontian khususnya golongan belia di daerah ini untuk beriadah. 

“Pada masa yang sama, saya berharap masyarakat dapat bekerjasama dalam menjaga kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Kunjungan ke daerah itu dimulakan dengan mendengar taklimat dan penyerahan projek Jalan Akses Pelancongan ke Tanjung Piai oleh IRDA sebelum diteruskan ke Taman Rekreasi Rambah bagi merasmikan Perletakan Batu Asas Pusat Astronomi Johor. 

Beliau dan rombongan kemudiannya ke bangunan Majlis Perbandaran Pontian bagi mendengar taklimat mengenai dasar Belanjawan Johor 2022, taklimat Projek Pembangunan RP 1: RMK 12 dan Hala Tuju Pembangunan Daerah Pontian. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu turut beramah mesra dengan peniaga di Arked Mara: Medan Arena sebelum ke Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Kampung Parit Makuasang untuk taklimat projek. 

Lokasi terakhir beliau adalah di Dataran Dato’ Jalok untuk melawat Expo Mini berkenaan aktiviti perikanan dan akuakultur serta perindustrian ringan dan pemprosesan makanan selain menyempurnakan Majlis Penutupan Sesi Libat Urus Bersama Kepimpinan Daerah sempena Belanjawan Johor 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN