Jadual baharu SPM 2021 dikeluarkan dalam masa terdekat  - Utusan Malaysia

Jadual baharu SPM 2021 dikeluarkan dalam masa terdekat 

RADZI JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan jadual peperiksaan baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam masa terdekat.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebook hari ini selepas beliau menerima banyak pandangan daripada pelbagai pihak.

Jelas beliau, ia khususnya daripada calon SPM 2021 dan ibu bapa berkaitan jadual peperiksaan SPM 2021 yang dikatakan turut diadakan pada Jumaat dan Ahad.

Justeru beliau berkata, pihaknya mengambil kira pandangan diberikan itu dan ia sudah dibincangkan di peringkat Lembaga Peperiksaan dan pengurusan tertinggi kementerian.

“Insya-Allah, kita akan keluarkan satu jadual baharu berkaitan peperiksaan SPM 2021 dalam masa terdekat. Terima kasih kepada ibu bapa dan calon SPM 2021 yang telah beri pandangan berkaitan jadual peperiksaan itu,” katanya.

Sebelum ini, ibu bapa dan calon SPM 2021 mahu Kementerian Pendidikan mempertimbangkan semula jadual peperiksaan berkenaan kerana dikatakan terlalu padat selain turut diadakan pada Jumaat dan Ahad.

Mereka mendakwa jadual peperiksaan itu dikatakan tidak ada rehat (selang hari) antara peperiksaan.

Selain itu, Jumaat dan Ahad juga diadakan peperiksaan, di mana ia mungkin menyukarkan sesetengah pihak untuk mengejar masa menunaikan solat Jumaat dan sebagainya.

Perkara itu dibangkitkan bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang turut menyifatkan jadual SPM 2021 sebagai terlalu padat, berterabur dan tidak meraikan hari cuti berbanding sebelum ini.

Malah, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Madius Tangau juga mahu Kementerian Pendidikan mengkaji semula jadual peperiksaan itu kerana ia kurang sesuai dan tidak mengambil kira sensitiviti rakyat berbilang agama dan kepercayaan di negara ini.

SPM 2021 akan bermula pada 3 Mac hingga 20 Mac 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN