Isu Myanmar: Malaysia mungkin desak ubah polisi tidak campur tangan - Utusan Malaysia

Isu Myanmar: Malaysia mungkin desak ubah polisi tidak campur tangan

SAIFUDDIN Abdullah pada sidang akhbar pengumuman pelantikan Ahmad Idham Ahmad Nadzri (kiri) dan Eizlan Yusof (kanan( di Wisma Putra hari ini. – Ihsan Kementerian Luar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia kemungkinan akan mendesak ASEAN untuk mengubah dasar tidak campur tangan negara anggota lain dalam isu melibatkan krisis di Myanmar.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pendekatan polisi lembut sedia ada dilihat menyebabkan ASEAN dikecam kerana tidak berbuat apa-apa dan sekadar berdiam diri.

“Ini bukan sebab junta negara itu degil, tetapi nasib rakyat Myanmar kerana jika dasar ASEAN enggan campur tangan tidak berjaya, maka kita mungkin kena ada campur tangan,” katanya.

Ia susulan tindakan kejam tentera Myanmar pada Jumaat lalu bertindak membakar lebih 100 bangunan termasuk gereja di wilayah Chin yang majoriti penduduknya itu beragama Kristian.

Insiden terburuk selepas era rampasan kuasa 1 Februari itu mengulangi kes tiga tahun lalu apabila lebih 100 gereja ditutup selain 10 premis ini dihancurkan militan junta di wilayah Shan.

Terdahulu, beliau mengumumkan Dr. Ahmad Idham Aham Nadzri dilantik sebagai Setiausaha Kebudayaan dan Datuk Seri Eizlan Yusof pula sebagai Perunding Kreatif di pejabatnya di sini.

Bercakap pada sidang akhbar di Wisma Putra hari ini, Saifuddin dalam nada kesal berkata, Malaysia terpaksa ‘bising’ mengenai isu Myanmar kerana negara ini paling banyak terkesan.

“Dunia tidak ambil peduli pun apabila lebih 200,000 etnik Rohingya jadi pelarian di Malaysia, walhal kami tidak pernah meratifikasi sebarang konvensyen pelarian antarabangsa,” katanya.

Justeru, kestabilan Myanmar dalam jangka panjang bakal membolehkan keamanan serantau dengan tiada lagi pendatang asing tanpa izin negara itu menceroboh bagi meneruskan hidup.

Beliau turut merujuk insiden pembunuhan beramai-ramai lebih dua juta rakyat sebuah negara ASEAN pada dekad 1970-an kerana blok ini enggan campur tangan dan membiarkan sahaja.

Tanpa menyebut secara spesifik nama negara itu, Saifuddin berkata polisi tersebut mungkin sesuai dalam situasi tertentu tetapi tidak dalam keadaan kecemasan melibatkan nasib rakyat.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob berbincang dengan Kemboja selaku negara pengerusi baharu ASEAN.

“Kita mahu mesyuarat peringkat pegawai kanan, disusuli menteri dan akhirnya para pemimpin negara ASEAN bagi bincang tindakan susulan untuk menamatkan krisis Myanmar,” katanya.

Pada masa sama, beliau secara peribadi masih berharap perkhidmatan Utusan Khas ASEAN ke Myanmar, Datuk Erywan Yusof diteruskan walaupun Brunei bukan lagi pengerusi blok itu.

Ini bagi meneruskan kesinambungan misi walaupun Menteri Luar II Brunei itu dikritik apabila dihalang masuk ke Myanmar dan dilarang bertemu bekas pemimpinnya, Aung San Suu Kyi.

Langkah itu ujar Saifuddin adalah wajar kerana Erywan sudah ada hubungan baik dengan Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin yang dilihat lebih terbuka dan mudah berunding.

Malaysia juga perlu memikirkan keselamatan sukarelawannya dalam agensi Mercy di wilayah Rakhine yang sedia membantu jentera misi kemanusiaan di seluruh Myanmar jika diperlukan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN