YAN: Seorang isteri buntu apabila diuji dengan dugaan besar selepas suaminya disahkan menghidap kanser usus tahap dua sejak lima bulan lalu.
Zauyah Khalid, 50, berkata, kesihatan suaminya, Muhammad Zohir Ahmad, 62, semakin merosot dan tidak lagi mampu melakukan kerja-kerja kampung untuk menyara keluarga.
Katanya, pada masa ini, dia yang juga ibu kepada dua anak terpaksa mengambil alih tugas itu dan bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan tidak seberapa.
“Suami menjalani pembedahan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini pada Jun lalu dan sejak itu dia perlu menggunakan beg stoma untuk membuang najis.
“Selepas pembedahan itu dia sering mengadu sakit dan tidak mampu melakukan sebarang kerja menyebabkan kami kehilangan pendapatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Titi Teras di sini semalam.
Katanya, dia buntu memikirkan kos perubatan suami yang perlu disediakannya setiap bulan.
“Wang simpanan telah habis digunakan untuk membayar kos pembedahan dan rawatan selama suami ditempatkan di HSAH sebelum ini,” katanya.
Zauyah memberitahu, dia tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada mana-mana agensi sebelum ini.
“Dua anak lelaki berusia 20 dan 25 tahun bekerja sebagai buruh, ada membantu dari segi kewangan tetapi masih tidak mencukupi.
“Ini kerana saya memerlukan sekurang-kurangnya RM400 sebulan untuk kos berulang-alik mendapatkan rawatan susulan dan keperluan rawatan suami,” jelasnya.
Katanya, dia juga perlu membeli sendiri beg najis suami yang berharga RM6.50 sekeping kerana ia perlu ditukar dua hari sekali bagi mengelak dijangkiti kuman.
“Selain itu, saya juga terpaksa menyediakan makanan khas yang lembut bagi mengelak suami mengalami kesakitan kerana ususnya telah rosak,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Agro 200511000108146 milik Zauyah Khalid atau menghubunginya di talian 0111-5495279.