PUTRAJAYA: Penyediaan infrastruktur kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi bakal dimulakan bulan ini melalui gentian optik bagi manfaat premis komersial dan awam.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, pelaksanaan projek melalui kaedah Point of Presence (PoP) itu adalah salah satu alternatif dalam memastikan jaringan dan liputan jalur lebar dapat diperluaskan ke kawasan sekitar sekolah dan berpenduduk dengan lebih baik.
Beliau berkata, selain kawasan itu, ia menyasarkan untuk menyediakan infrastruktur gentian optik di kawasan premis kerajaan, perniagaan, kemudahan awam dan komersial lain sekali gus membolehkan rakyat mempunyai akses kepada infrastruktur gentian optik dan menikmati capaian jalur lebar dengan kelajuan lebih tinggi.
Katanya, hari ini pihak kementerian menyerahkan Surat Setuju Terima (SST) kepada petender yang berjaya bagi tender bekalan, kerja serta perkhidmatan bagi projek penyediaan dan penyelenggaraan PoP itu.
“Kementerian Kewangan sudah memberi kebenaran dan kelulusan mengenainya dan projek bernilai RM700 juta itu perlu dilaksanakan segera.
“Tender ini sudah dibuka sejak Mac, namun disebabkan beberapa masalah teknikal dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia tidak dapat diselesaikan,” katanya pada majlis penyerahan surat SST itu, di sini hari ini.
Annuar berkata, Fasa 1 bagi PoP membabitkan tujuh zon iaitu, zon utara, tengah, selatan, Pantai Timur, Sabah, Sarawak dan kawasan perindustrian.
Kata beliau, pelaksanaan projek itu akan mengoptimumkan infrastruktur digital sedia ada, selain mengurangkan pertindanan dalam pembinaan infrastruktur digital baharu yang melibatkan kementerian, jabatan, agensi dan syarikat-syarikat swasta di seluruh negara
Pada masa sama, Annuar berkata, pelaksanaan itu akan meliputi skop pemasangan gentian optik ke kawasan sekolah, premis kediaman, perniagaan, komersial, industri dan lain-lain.
“Ia juga membabitkan penyediaan perkhidmatan Internet Jalur Lebar Talian Tetap (JLTT) ke kawasan populasi dan juga bangunan yang berhampiran serta penyelenggaraan infrastruktur gentian optik tersebut,” katanya.
Katanya, secara keseluruhannya, sebanyak 4,323 PoP dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di kawasan berhampiran sekolah luar bandar, termasuk 47 PoP bagi kawasan industri yang dikenal pasti.
Jelas beliau, sekurang-kurangnya sebanyak 432,300 premis akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi apabila projek ini siap menjelang akhir RMK-12 tahun 2025.- UTUSAN ONLINE