Impi jadi penguasa bomba, berdakwah selepas tamat pengajian - Utusan Malaysia

Impi jadi penguasa bomba, berdakwah selepas tamat pengajian

AHMAD Haziq Fadzil (tiga dari kiri) menerima sumbangan wang tunai yang disampaikan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti sebagai persediaan berangkat ke Maghribi di Kota Tinggi, Johor. – UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Satu-satunya pelajar cemerlang dari Johor yang mendapat tajaan belajar di Maghribi menanam impian mahu menjadi penguasa bomba dan pada masa sama mahu menggerakkan usaha dakwah.

Ahmad Haziq Fadzil, 18, berkata, dia akan menggunakan peluang belajar di Universiti Casablanca dalam bidang Pengajian Islam itu sebaik-baiknya bahkan bercita-cita untuk menghafal al-Quran.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Bandar Tenggara itu berkata, tidak dinafikan peluang diperoleh itu bukan sesuatu yang mudah kerana permohonan hanya memerlukan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun semasa.

“Saya berasa sangat gembira dan syukur kepada Allah kerana kurniakan saya peluang untuk sambung pelajaran di Maghribi, sejujurnya saya amat terkejut apabila dapat tahu saya seorang sahaja pelajar dari Johor yang terpilih untuk belajar di sana.

“Saya turut dimaklumkan pemohon dari negeri ini tidak kurang hebatnya dengan memperoleh keputusan yang sangat cemerlang dalam SPM dan sebaik sahaja dapat khabar berita ini saya memang tergamam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Ahmad Haziq yang bukan sahaja teruja kerana berjaya mencapai cita-citanya untuk menyambung pelajaran di sana turut bersyukur kerana dapat menggembirakan hati ibu bapa yang banyak berkorban termasuk menghantar dokumen permohonan ke Kementerian Pengajian Tinggi.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, sebelum mendapat tawaran tersebut, dia sempat menyambung pengajian di peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Maahad Pontian untuk menjadi lorongan kepadanya agar dapat menuntut ilmu di luar negara seperti di Mesir.

Namun, sebaik sahaja peluang belajar di Maghribi dibuka, dia terus memohon dan menyediakan semua dokumen yang diminta dengan harapan dapat menyambung pengajian dan menuntut ilmu di sana.

Meskipun agak berat untuk meninggalkan STAM disebabkan banyak silibus yang telah dipelajari selain peperiksaan semakin hampir, tetapi bagi Ahmad Haziq, perancangan Allah itu lebih baik kerana mengurniakan rezeki kepadanya dalam jalan yang tidak disangka-sangka.

“Ibu ayah adalah orang yang paling gembira saya dapat belajar di sana, apatah lagi saya dapat biasiswa penuh yang ditanggung kerajaan Maghribi selain elaun bulanan yang dapat mengurangkan sedikit bebanan keluarga dari segi kewangan.

“Saya mengimpikan untuk menjadi seorang pegawai atau penguasa bomba selepas tamat pembelajaran saya di universiti.

“Tetapi pada masa sama saya tetap ingin menjadi seorang pendakwah yang dapat memberikan manfaat ilmu agama kepada masyarakat misalnya dalam situasi kecemasan saya mampu membantu menenangkan mereka dari  kerohanian dan spiritual, itu yang saya impikan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN