ICU HSA terbakar korban enam nyawa siap dibaik pulih - Utusan Malaysia

ICU HSA terbakar korban enam nyawa siap dibaik pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerja-kerja membaik pulih wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru yang terlibat dalam kebakaran meragut enam nyawa pada 2016, siap dibaik pulih.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, wad tersebut yang kembali beroperasi pada September tahun lalu kini digunakan sebagai wad pembedahan am dengan kapasiti 20 katil.

“Waran peruntukan pembangunan tahun 2017 bagi ICU terbakar telah diterima dan sejumlah RM984,060 dibelanjakan bagi kerja-kerja baik pulih wad ICU tersebut,” katanya pada sesi penggulungan Persidangan Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, hari ini.

Pada 25 Oktober 2016, enam pesakit terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki maut, manakala seorang lagi terselamat dalam kebakaran di tingkat dua ICU selatan HSA dalam insiden pada pukul 8.56 pagi itu.

Sementara itu, sehingga Selasa lalu, seramai 97,138 penduduk negeri ini telah menerima dos penggalak masing-masing bermula 13 Oktober lalu menggunakan vaksin Cominarty Pfizer.

Vidyananthan berkata, pada masa ini, pemberian dos penggalak dilaksanakan bagi penerima vaksin Cominarty yang menerima suntikan sekurang-kurangnya enam bulan dari tarikh akhir dos kedua dan tiga bulan dari tarikh akhir dos kedua bagi penerima Sinovac.

“Pelaksanaan dos penggalak tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa memandangkan logistik pengurusan vaksin yang sensitif dan memerlukan perancangan yang rapi. 

“Selain itu, terdapat beberapa kekangan yang dihadapi di dalam meningkatkan bilangan penerima iaitu antaranya lebih 70 peratus penerima vaksin di Johor menerima vaksin Comirnaty yang belum mencapai selang masa enam bulan dari dos kedua. Maka penerima vaksin ini masih belum layak untuk menerima dos penggalak,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya