PUTRAJAYA: Kejadian hujan lebat secara berterusan pada petang kelmarin dan pembinaan lebuh raya baharu mungkin punca banjir di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang, Selangor.
Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir. Nor Hisham Mohd. Ghazali berkata, ia berdasarkan bacaan hujan tinggi direkodkan di dua stesen dalam tempoh sejam.
“Stesen Puncak Atheneum di Gombak mencatatkan 100.5mm dan Stesen Bukit Antarabangsa pula dengan bacaan 101.5mm,” katanya melalui kenyataan di sini.
Ribuan penduduk di lokasi berkenaan selain di Kampung Lembah Jaya Selatan ditenggelami air bah selepas hujan pada petang tersebut dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan serta Ampang bersama 14 pegawai dan anggota dikerahkan ke lokasi itu bagi menyelamatkan mangsa terkandas di rumah.
Ini juga merupakan insiden banjir kilat yang terburuk tidak sampai sebulan kawasan sama pernah dilanda pada 23 Oktober lalu apabila hujan lebat turun dengan kadar lebih 60mm sejam.
Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, Sungai Ampang dan sistem saliran sedia ada tidak dapat menampung kapasiti aliran air tinggi sehingga melepasi paras bahaya iaitu 63.8 meter seterusnya menyebabkan banjir sedalam 0.8 meter melibatkan sejumlah 103 buah rumah di kampung tersebut selain kerja-kerja pembinaan sebuah lebuh raya yang baharu.
Justeru jelas beliau, pihak JPS akan menyiasat sama ada faktor itu menyumbang kemungkinan dan mempengaruhi impak banjir kepada penduduk di kawasan perkampungan bersebelahan.
Langkah itu juga ekoran dakwaan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin semalam yang percaya ia disebabkan daripada kesan projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE).
Agensi berkenaan akan memastikan dan mengawal selia segala kawalan kebenaran pembangunan yang sudah diluluskan secara lebih ketat agar mematuhi syarat telah ditetapkan.
Sehubungan itu tambah beliau, orang ramai terutamanya penduduk yang menetap kawasan rendah dinasihatkan supaya sentiasa lebih berhati-hati ketika hujan lebat kebelakangan ini dan diminta perlu bersedia berpindah ke pusat penempatan sementara lebih selamat dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa.
Maklumat hebahan amaran banjir dan status paras air sungai serta tahap kelebatan hujan di seluruh Malaysia turut boleh diketahui menerusi pautan dari laman sesawang rasmi JPS melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my di samping aplikasi mudah alih MyPublicInfoBanjir yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store atau Apple App Store.
Insiden banjir kilat di Daerah Hulu Langat itu berbeza dengan situasi di Selayang, Gombak pada 4 November lalu yang berpunca daripada sampah-sarap tersekat di anak Sungai Udang termasuk tilam yang dibuang penduduk sekitar sehingga melintangi kawasan perangkap sampah di laluan sungai kecil tersebut dan berlaku limpahan banjir selepas hujan lebat.










