KUALA LUMPUR : Pelakon terkenal, Fauziah Ahmad Daud, 59, mendedahkan, arwah bapanya, Allahyarham pelakon Ahmad Daud, pernah menyuarakan hasrat untuk melihat dirinya bergelar seorang pendidik atau guru.
Menurut Fauziah yang sinonim dengan panggilan Ogy, perkara tersebut ternyata direalisasikannya dalam bidang seni lakonan menerusi segala perkongsian ilmu hasil pengalaman terkumpul sepanjang 49 tahun bergelar anak seni.
“Dengan apa yang diusahakan sekarang, iaitu mendidik dan berkongsi ilmu, secara tidak langsung ia membuatkan harapan arwah ayah untuk melihat saya menjadi seorang pendidik tercapai.
“Jika ditanya apa lagi yang ingin saya mahukan, apatah lagi, semua cabang dunia seni sudah diterokai, pilihan saya adalah meninggalkan legasi Ogy’s Centrestage & Academy yang ditubuhkan pada 2018. Saya bersyukur dapat berkongsi ilmu dan memberikan semula pengetahuan selama hampir lima dekad kepada generasi muda.
“Saya percaya, kita tidak boleh menjadi pelakon hebat dalam masa tujuh hari. Seseorang kena belajar mengenali dan memahami apa itu seni sebelum menjadi bintang,” katanya.
Ogy berkata demikian pada sesi Instagram (IG) Live Bersama Penggiat Seni, menerusi topik Aku Pelakon Terbaik baru-baru ini.
IG Live Bersama Penggiat Seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem (FINAS) itu diadakan sempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung pada 10 Disember ini.
Mengangkat topik, Aku Pelakon Terbaik, sesi Live IG itu dikendalikan moderator yang juga dua editor hiburan, Saharudin Mohd Musthafa dan Roslen Fadzil.
Selain itu, kata perangkul Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 1986 dan 1987 ini, dia juga benar-benar berharap agar generasi muda pada masa kini mempunyai sikap menghargai dan menghormati ilmu.
Katanya, elemen itu amat penting untuk diaplikasikan sekiranya mereka mahu bergelar anak seni yang bermutu.
“Lakonan adalah seni ekspresi jiwa. Tiba masanya orang menyedari lakonan adalah seni yang mahal, bukan seni yang main masuk dan lontarkan dialog sahaja, ia bukan begitu,” katanya.
Sementara itu, Ogy juga mengumumkan kini mengeluarkan buku berjudul Mencari Noriah yang akan berada di pasaran pada Januari depan.
Dalam pada itu, untuk makluman, beberapa sesi Live IG bersama pemain terkemuka industri seni akan diadakan sepanjang sembilan hari, bermula kelmarin hingga 29 November depan.
Selain topik Aku Pelakon Terbaik, dua lagi topik diketengahkan iaitu Jadi Pengarah Tanpa Gagal membabitkan Syamsul Yusof, Mawi dan Yana Samsudin. Manakala topik How To Make A Drama Go Viral – The Magic Formula pula menampilkan Datuk Ziela Jalil, Datuk A Aida dan Fadzil Teh.