KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya Sabah akan menambah lori tangki air ke kawasan yang mengalami gangguan bekalan air dengan kadar segera.
Penghantaran air menggunakan lori tangki ini akan dilakukan sepanjang 24 jam sehingga pam loji rawatan air (LRA) Telibong 1 selesai diperbaiki terutama di University Utama Condominium (UUC) Telipok dan University Condo Apartment 2 (UCA 2).
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, itu antara langkah penyelesaian jangka pendek yang diambil oleh kementeriannya bagi membekalkan air kepada pengguna.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, pihaknya akan menghantar air dengan kapasiti 4.9 juta liter sehari untuk tangki simpanan di UUC dan 5.5 juta liter sehari untuk tangki simpanan UCA 2.
Beliau berkata, penghantaran lori tangki air ini sudah dimulakan sejak 6 November lalu dan jumlahnya akan ditambah oleh pihak Jetama Sdn. Bhd.
“Saya telah mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) memaklumkan status semasa di kawasan yang terjejas kepada kementerian,” katanya dalam laman Facebooknya.
Bung Moktar berkata, mungkin sudah tiba masa pengurusan air di Sabah diletakkan kepada badan ketiga untuk menguruskan bekalan air.
“Saya akan bentangkan kertas cadangan kepada Kabinat Negeri Sabah untuk mengatasi masalah air di Sabah. Namun, perkara ini bukan mudah kerana melibatkan peruntukan bilion ringgit,” katanya.
Beliau berkata, tindakan segera berbentuk jangka pendek ini diharap dapat membantu meringankan bebanan pengguna yang terjejas dan menambah tindakan susulan akan diambil berdasarkan kajian yang akan dilakukan. -UTUSAN ONLINE










