Guru rugi RM140,000 diperdaya ‘pegawai polis’ - Utusan Malaysia

Guru rugi RM140,000 diperdaya ‘pegawai polis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang guru sambilan wanita mengalami kerugian RM140,000 ditipu dua ‘pegawai polis’ sebagai bayaran untuk mengurangkan hukuman terhadap abangnya yang disabit kes berkaitan dadah. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa berusia 38 tahun itu menyedari ditipu setelah suspek meminta membuat bayaran tambahan RM50,000 selepas beberapa hari membuat pemindahan wang.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat mangsa pada pukul 12.52 tengah hari  memaklumkan ditipu dua suspek yang menyamar sebagai pegawai polis, kelmarin.

Katanya, kejadian berlaku pada 11 November lalu ketika mangsa berada di rumah yang didatangi oleh seorang suspek lelaki menaiki sebuah kereta yang mempunyai lambang polis.

Tambahnya, suspek itu kemudian meminta pengesahan sama ada wanita itu mengenali seorang individu iaitu abang kepada mangsa yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pengedaran dadah.

“Semasa kejadian, suspek mengarahkan mangsa berhubung dengan seorang lelaki iaitu suspek kedua yang dikenali sebagai ‘Tuan Nazri’ dari ‘Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor’ di talian 016-4420728.

“Ketika menghubungi suspek kedua itu, mangsa dimaklumkan sekiranya ingin mengurangkan hukuman terhadap abangnya, mangsa perlu membuat bayaran sebanyak RM100,000 ke akaun yang  diberikan sebagai syaratnya.

“Keesokkan harinya, mangsa telah membuat pemindahan wang tersebut dan memaklumkan kepada suspek mengenai perkara itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata, selepas menerima bayaran RM100,000, suspek meminta mangsa membuat pemindahan wang tambahan sebanyak RM40,000 dan mangsa telah melakukannya pada hari sama. 

Setelah kesemua transaksi dibuat, beliau memberitahu, mangsa ke IPK Johor dan berhubung dengan suspek kedua semula namun tiada sebarang jawapan yang diterima dari suspek. 

Namun, katanya, mangsa telah menerima panggilan dari suspek tidak lama kemudian menggunakan nombor 07-2254422 dan memintanya pulang ke rumah. 

“Selang beberapa hari kemudian, suspek  menghubungi mangsa dan meminta mangsa untuk membuat pembayaran tambahan berjumlah RM50,000. Namun kali ini, mangsa enggan membuat sebarang bayaran kerana mengesyaki dirinya telah ditipu,” ujarnya. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya