KUCHING : Parti Gabungan Sarawak (GPS) akan mengumumkan senarai calon gabungan parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 pada 4 Disember ini.
Pengerusinya Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, GPS tidak berdepan apa-apa masalah dengan penetapan 18 Disember sebagai hari pengundian untuk pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.
“Kita memang sudah menjangka hari pengundian akan diadakan sebelum sambutan Hari Krismas,”ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata, dengan penetapan tarikh-tarikh penting itu GPS perlu memperkemaskan persiapannya bagi menghadapi pilihan raya itu nanti.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh selepas mesyuarat khasnya mengenai PRN Sarawak di sini hari ini berkata SPR menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-12, manakala 6 Disember untuk tarikh penamaan calon dan pengundian awal pada 14 Disember.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari, bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 6 Disember sehingga jam 11.59 malam 17 Disember.-UTUSAN ONLINE