KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sarawak diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) seharusnya memberi tumpuan kepada empat perkara mustahak daripada terus mendesak untuk melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Ahli Parlimen Bandar Kuching daripada DAP, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen berkata, gabungan itu harus memastikan pendaftaran pengundi berumur 18 tahun secara automatik dilaksanakan sepenuhnya.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga harus memberikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada semua golongan yang terdedah dan berisiko tinggi mendapat jangkitan wabak di negeri itu.
“Kerajaan juga perlu memberikan vaksin Covid-19 kepada golongan remaja berumur 12 hingga 17 tahun di negeri ini dan memperkenalkan pembaharuan pilihan raya yang diperlukan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai untuk pilihan raya yang selamat,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Lee Wuen adalah wakil rakyat Sarawak daripada DAP merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen.
Kenyataan itu dikongsi beserta tangkap layar kenyataan Istana Negara petang ini yang menyaksikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya proklamasi darurat negeri Sarawak ditamatkan.
Dengan penamatan darurat, ia akan membuka jalan supaya pilihan raya negeri dapat diadakan dalam tempoh tempoh 60 hari dari tarikh hari ini.
Memetik kenyataan itu bahawa Seri Paduka menzahirkan kegusaran terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan Covid-19 jika pilihan raya diadakan, Lee Wuen mengulangi Seri Paduka secara jelas sudah menyatakan keraguannya untuk mengadakan pilihan raya segera.
“Seri Paduka dengan jelas menyatakan negara masih berdepan dengan wabak ini dan ia masih berada pada ‘tahap membimbangkan'”.
“Namun, kerajaan negeri tetap berkeras mahu mengadakan pilihan raya negeri. Saya telah katakan beberapa kali, tiada sebab untuk mengadakan pilihan raya awal melainkan mereka benar-benar berniat mengelak undi 18 tahun,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, beliau memberi peringatan supaya pihak berkenaan tidak mencuba-cuba menyalahkan Seri Paduka setelah memperkenan menamatkan proklamasi darurat kerana Baginda tidak akan bertindak demikian melainkan diminta kerajaan negeri.
“Seri Paduka tidak ‘bangun pada waktu pagi’ dan berasakan Sarawak patut mengadakan pilihan raya. Ini pada GPS dan mereka perlu menjawab kepada rakyat mengapa masih mahu mendesak pilihan raya awal,” katanya.
Pada 31 Julai lalu, Sarawak diisytiharkan darurat selama enam bulan sehingga 2 Februari 2022 selaras di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) Sarawak 2021 diterbitkan dalam Warta Persekutuan, pada 30 Julai lalu dan berkuat kuasa mulai 2 Ogos.
DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan setelah mencapai tempoh matang lima tahun pada 7 Jun lalu namun proses itu tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang sudah dibatal dan diungkaikan oleh kerajaan, baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE










