PETALING JAYA: Pelakon, Sharifah Amani mendedahkan bahawa terdapat kru produksi drama dan filem yang berdepan gangguan seksual di tempat kerja.
Katanya, dia mengetahui perkara tersebut selepas mangsa datang kepadanya dan menceritakan sendiri bentuk gangguan yang mereka terima daripada individu-individu yang cuba mengambil kesempatan.
“Alhamdulillah, saya belum pernah berdepan situasi seperti ini. Tetapi saya mendengar aduan dan kes melibatkan wanita dan lelaki.
“Kebanyakan yang kena adalah kru khususnya wanita. Mereka diganggu secara verbal dan fizikal. Cakap-cakap kotor sering berlaku dan dinormalisasikan di set penggambaran.
“Mangsanya adalah kru baharu. Pemangsanya adalah mereka yang berasakan diri lebih ‘berkuasa’ dan selalu membuli,” dedahnya.
Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-19 itu berkata, masalah tersebut akan terus berlaku sekiranya tiada penguatkuasaan khusus untuk membanteras gangguan seksual.
“Satu tatakelakuan yang menuntut penggiat seni untuk berkelakuan baik dan profesional ketika bekerja di set penggambaran sudah ada dan disokong oleh Rangkaian Bersepadu Pelakon Malaysia (Iman) dan Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PFIM).
“Tetapi, tak guna ada tatakelakuan tetapi tak ada penguatkuasaan, tak ada tempat untuk mangsa buat aduan.
“Jadi, diharapkan syarikat-syarikat produksi dapat menerapkan tatakelakuan ini dan pada masa yang sama perbadanan-perbadanan berkaitan dapat melakukan sesuatu agar tatakelakuan ini dapat dikuatkuasakan untuk membanteras salah laku, termasuk gangguan seksual di set penggambaran,” ujarnya.
Terdahulu, pelakon Namron ketika diwawancara Mingguan Malaysia pada 14 November lalu memberitahu wujudnya pelakon-pelakon lelaki yang diganggu secara seksual oleh individu-individu berpengaruh dalam industri itu.
Semalam, pengarah terkenal, Michael Ang pula memberitahu pernah didatangi rakan-rakan artis yang turut menceritakan pengalaman mereka diganggu secara seksual oleh individu tertentu dalam industri hiburan.
Namun, kata Michael, beliau ketika itu mengambil pendekatan untuk acuh tidak acuh dengan aduan-aduan sebegitu kerana hanya mendengar cerita dan bukan melihat sendiri kejadian.
Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berkata, pihaknya tidak menerima banyak aduan rasmi berkaitan jenayah seksual dalam industri seni tempatan.
Zed atau nama sebenarnya, Rozaidi Abdul Jamil berkata, jumlah aduan bertulis yang direkodkan adalah terlalu sedikit berbanding cerita-cerita yang tular dalam kalangan penggiat seni tempatan.
“Saya anggarkan sekitar satu peratus sahaja. Ini kerana mangsa tidak membuat aduan secara rasmi kepada kami.
“Kalau mangsa anggap perkara ini serius, mereka perlu tampil membuat aduan secara rasmi.
“Tanpa aduan bertulis, kita tak dapat sahkan sejauh mana kesahihan dakwaan yang dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Zed berkata terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan mangsa enggan membuat aduan.
“Mungkin mangsa takut nak ke depan. Ini melibatkan maruah. Mungkin juga mereka khuatir hilang tawaran berlakon dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










