MELAKA: Kesemua enam Ketua UMNO Bahagian di Melaka menyatakan pendirian tegas menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pertemuan khas bersama ketua-ketua bahagian, semalam.
Menjelaskan perkara tersebut, Mohamad Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, dalam mesyuarat tersebut, semua ketua bahagian telah memberikan pandangan dan sebab, mengapa mereka menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu.
“Kami ketua-ketua bahagian termasuk seluruh jawatankuasa di Melaka, hari ini dengan tegas menyatakan pendirian muktamad bahawa kita tidak akan bekerjasama dengan Bersatu menghadapi PRN nanti.
“Kami juga ingin menyatakan bahawa seluruh ketua bahagian bersetuju untuk mengadakan kerjasama terus dalam Muafakat Nasional (MN) iaitu bersama Pas untuk PRN pada 20 November ini.
“Ini jelas, bahawa keputusan yang kami buat adalah atas kehendak akar umbi di seluruh negeri ini, di atas apa yang telah dilakukan oleh Bersatu terhadap ahli-ahli parti sepanjang bersama dalam Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam sidang akhbar tergempar di Baitul Tariq, Klebang di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Tun Ali dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman.
Sidang akhbar itu diadakan susulan pertemuan tertutup Ismail Sabri bersama enam ketua bahagian di Masjid Tanah, petang semalam.
Mengulas lanjut, Mohamad Ali menegaskan, jika UMNO menukar fikiran bekerjasama dengan Bersatu, tindakan tersebut akan menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli akar umbi, dan boleh menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk memenangi PRN Melaka.
“Kepada seluruh ahli-ahli UMNO di negeri ini saya menyeru untuk kita bergerak kerana keputusan sudah dibuat bahawa kita tidak akan bekerjasama dengan Bersatu sebaliknya kita memperkukuhkan MN bersama Pas,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE