Empat wanita cipta sejarah sertai pasukan elit Smart - Utusan Malaysia

Empat wanita cipta sejarah sertai pasukan elit Smart

NUR Fitrah Amirah Sohaidi (dari kiri), Avlyanie Moidi, Noor Farahana Ismail dan Nurul Fatin Fazlin Bazeli berjaya menamatkan Kursus Khas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) di Markas Pasukan Smart, Pulau Meranti, Puchong. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Buat pertama kalinya dalam sejarah penubuhan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), pasukan penyelamat elit negara itu kini disertai anggota wanita.

Lebih menarik, empat wanita diterima masuk sebagai anggota Smart selepas kesemua mereka menamatkan kursus asas pasukan tersebut selama lima minggu berakhir 24 Oktober lalu.

Mereka ialah Avlyanie Moidi, 24; Noor Farahana Ismail, 32; Nurul Fatin Fazlin Bazeli, 25, dan Nur Fitrah Amirah Sohaidi, 24.

Empat wanita itu adalah antara 24 peserta yang menamatkan Kursus Khas SMART Siri 1/2021 dengan majlis penyampaian sijil tamat kursus disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd Latif Ahmad.

Avlyanie ketika ditemui berkata, dia akui bukan mudah untuk bergelar sebagai anggota penyelamat elit Smart kerana perlu melalui pelbagai peringkat latihan yang sukar.

Dia menyertai Smart kerana mahu membuktikan wanita boleh menggalas tugas berat sebagai anggota penyelamat elit.

“Saya juga menyertai pasukan ini kerana ingin mempelajari teknik-teknik dan kaedah baru dalam tugas-tugas menyelamat,” katanya yang sebelum ini berkhidmat sebagai pengendali anjing di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Sementara itu, Nurul Fatin berkata, minatnya yang mendalam dalam aktiviti lasak sejak kecil banyak membantunya untuk menamatkan latihan kursus asas berkenaan.

“Saya memilih menyertai Smart kerana ingin mencabar keupayaan diri selain minat mendalam terhadap tugas-tugas penyelamatan.

“Saya dimaklumkan kehadiran anggota wanita dalam pasukan ini dialu-alukan khususnya bagi memudahkan tugas-tugas menyelamat membabitkan mangsa wanita,” katanya.

Katanya, sebelum ini dia pernah berkhidmat sebagai anggota polis marin di Pelabuhan Klang sejak lima tahun lalu.

Selain itu, Noor Farahana, 33, berkata, dia menyertai pasukan ini kerana ingin mencari pengalaman baharu selain minat mendalam dalam tugas-tugas menyelamat.

“Saya bersama tiga anggota wanita lain berbangga kerana menjadi anggota wanita pertama menyertai pasukan penyelamat ini.

“Saya menyertai pasukan ini kerana saya suka tolong orang dan ia satu kepuasan buat saya jika dapat berbuat demikian,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai anggota polis di Bukit Aman.

Terdahulu, Abdul Latiff menyampaikan sijil tamat latihan kepada 24 peserta Kursus Khas SMART Siri 1/2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya